Pages

Tuesday, April 10, 2012

Keadaan Ketika Nazak


NAZAK... SAAT HAMPIR MENINGGAL DUNIA
Dalam konteks ajaran Islam, saat kematian telah ditentukan waktunya, tidak dapat ditunda atau dipercepat dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya. Semua makhluk yang bernyawa pasti akan merasai kematian, sesuai dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud :

 “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan ( ingatlah bahawa ) kehidupan di dunia ini  (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya ) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
                                                                                                                                  Surah ali-Imran 3: (185)

Nazak
Nazak adalah saat terakhir seseorang yang akan menempuhi alam kematian. Nazak adalah ibarat sesuatu yang menyakitkan roh sehingga tidak meninggalkan satu bahagian pun dari roh yang tidak merasai kesakitan. Kepedihan di waktu nazak menyerang roh dan seluruh bahagiannya, kerana roh itulah yang dicabut dan ditarik dari setiap urat dan sendi jasad, iaitu bermula dari kepala hingga ke hujung kaki. Bencana kematian itu terbahagi kepada tiga perkara. Pertama, kerasnya nazak. Kedua, akan melihat rupa malaikat maut dan ketiga keluarnya roh serta akan rasa ketakutan di dalam hati. Detik-detik akhir menjelang kematian dinamakan sakaratul maut. Sakarat diertikan sebagai  mabuk. Sakaratul maut adalah peringkat ujian yang paling hebat dan ia juga amat dahsyat  sehingga menyebabkan seseorang itu bagaikan rasa mabuk disamping kesakitan yang amat dahsyat. Ianya tetap dihadapi oleh sesiapa sahaja di saat kematiannya hampir tiba sama ada orang yang beriman atau tidak beriman.

Keadaan ketika nazak
a)      Tanda orang mukmin meninggal dunia
Antara tanda-tanda kematian ialah tumit akan menjadi lembut, hidung menjadi bengkok, alis matanya semakin hilang, kulit muka menjadi tegang dan dahinya berpeluh.
Dari Abi Buraidah al-Aslami, Nabi S.A.W bersabda: “ Orang mukmin mati dengan keluar keringat di dahinya.” ( Hadis Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim ).
Diriwayatkan juga dari Salman Al-Farisi r.a, ia berkata: “ Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Perhatikanlah tiga perkara pada mayat di waktu saat kematiannya: jika keluar peluh di dahinya berlinangan air matanya, dan melebar kedua lubang hidungnya, maka itu adalah rahmat dari Allah yang turun kepadanya. Jika ia mendengkur seperti unta yang tercekik, pucat warnanya dan berbuih mulutnya, maka itu adalah seksaan dari Allah yang telah menimpanya”. (Hadis Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim).


b)      Sakaratulmaut bagi orang kafir
Bagaimana pula kematian orang yang derhaka ? Allah mengingatkan dengan firmanNya: “Ingatlah bila roh sampai ke kerongkong. Lalu ditanyakan: “Siapa yang dapat memberi penawar? Sedangkan dia yakin itulah tanda kematian. Dan kedahsyatan mati dirasakan bagai bertindih-tindih. Ketika itu kamu dibawa mengadap Tuhanmu. Padahal dia tidak menerima baik ajaran Allah dan tidak pula melakukan solat.” (Surah al-Qiyamah 75: 26-31)
Ketika itu orang yang berdosa akan mengalami sakit yang amat sangat dirasakan seperti berbelitlah betis dengan betis. Nabi Muhammad S.A.W membayangkan malaikat mencabut nyawa orang yang derhaka umpama satu guni yang penuh dengan gandum diletakkan satu cangkuk yang besar lalu direntap cangkuk itu sampai ke bawah lalu terburailah isinya. Begitu kasar dan keras kerja malaikat maut mengambil nyawa terhadap orang yang menderhakai Allah S.W.T.

Apa yang dilihat oleh orang nazak
Iblis dan syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis akan mandatangi manusia sewaktu sakaratul maut.
Menurut al-Qurtubi dalam  Al-Tazkirah yang diriwayatkan dari Nabi S.A.W bahawa di saat seorang hamba yang hampir menemui ajalnya akan datang dua syaitan yang duduk menghampirinya. Satu akan duduk di sebelah kanannya dan satu lagi akan berada di sebelah kirinya. Yang di sebelah kanannya akan menyerupai wajah dan sifat ayahnya. Ia berkata kepadanya: “Dulu aku mengasihi dan menyayangimu. Akan tetapi matilah kamu dalam agama Nasrani, kerana agama tersebut merupakan agama yang terbaik.” Syaitan yang berada di sebelah kirinya akan menyerupai sifat ibunya. Ia berkata kepadanya: “Hai anakku, perutku telah mengandungmu, susu ku telah memberimu minum, dan pahaku telah memangkumu. Akan tetapi matilah kamu dalam agama Yahudi, kerana agama tersebut merupakan agama yang terbaik.”
Manakala menurut Abdul Hasan al-Qasibi di dalam kitabnya Syariah Risalah Ibnu Abi Zaid dan Abu Hamid menyebut maknanya dalam kitab Kasyfu Uluum al-Akhirah, apabila hampirnya  saat-saat getir kematian, seseorang itu akan diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan. Ini adalah kerana iblis telah mengarahkan para pengikutnya secara khusus untuk cuba menghasut dan menggoda umat Islam. Mereka mendatangi manusia dan menjelmakan diri mereka meyerupai orang-orang yang dicintai di dunia seperti wajah ayah, ibu, saudara lelaki, saudara perempuan dan sahabat handai.
Selain itu, jika orang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibril alaihissalam akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail alaihissalam. Manakala jika orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail alaihissalam akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya dia apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.
Oleh itu, hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia dengan kalimah suciLaa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW: "Ajarkan oleh kamu ( orang yang masih hidup ) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah."