BERPUASA pada siang hari dan beribadat sebelah malamnya dengan mengerjakan solat tarawih sepanjang bulan Ramadan merupakan dua amalan yang penuh dengan keistimewaan serta keberkatan.
Kedua-duanya begitu sinonim dan sukar dipisahkan kerana ia memberi manfaat tersendiri kepada umat Islam dalam melaksanakan ibadah tersebut.
Jika tertinggal atau tidak mengerjakan salah satunya, maka puasa atau solat tarawih yang dilakukan bukan sahaja terasa kosong, malah sia-sia. Sebaliknya, seseorang itu hanya mendapat kepenatan.
Bagi Haniff Abu Talib, 23, pelajar jurusan Ijazah Takhassus Qiraat Shoubra di Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir, ketibaan Ramadan amat ditunggu-tunggu walaupun beliau berada di perantauan.
Bagi masyarakat Asia Barat, Ramadan begitu istimewa terutama dalam mengerjakan ibadah tarawih.
“Sepanjang menuntut di Mesir sejak dua tahun lalu, saya berpeluang mengunjungi daerah Tarim di Hadramaut, Yemen. Pengalaman pertama kali berada di Masjid Tarim sangat mengujakan kerana kami langsung tidak tidur malam.
“Masyarakat Yemen melaksanakan ibadah sebanyak-banyaknya pada malam-malam bulan Ramadan. Selepas solat Maghrib, mereka terus melakukan solat tasbih beramai-ramai. Kemudian, selepas Isyak, solat tarawih dilakukan sebanyak 100 rakaat.
“Mereka seolah-olah mengqada semua solat-solat sunat yang ditinggalkan dahulu bagi merebut pahala ibadah berlipat kali ganda yang dijanjikan Allah pada bulan ini. Bayangkan hebatnya masyarakat Islam di Hadramaut menunaikan ibadah,” jelas Haniff yang berjaya khatam al-Quran Riwayat Imam Qolun dan Imam Abu Ja’far secara talaqqi di hadapan Sheikh Waeel Hajjaj di Mesir.
Pusat ilmu
Haniff juga pernah berkunjung ke Masjid Ba’alawi dan tidak melepaskan peluang mengerjakan solat tarawih bersama ulama terkemuka Yemen, Habib Umar bin Hafidz di Darul Mustofa, Tarim, Hadramaut.
Tarim merupakan sebuah kota kecil yang terletak kira-kira 500 kilometer dari ibu kota Yemen, Sana’a. Menurut Ensiklopedia Islam, ia turut disebut sebagai kota Seribu Wali dan terkenal sebagai pusat ilmu dan penyebaran Islam ke seluruh dunia.
Di Yemen, terdapat 365 buah masjid. Setiap kali Ramadan, solat tarawih akan dikerjakan sepanjang malam hingga solat Subuh. Keadaan itu membolehkan para jemaah memilih masa yang diinginkan untuk menunaikan solat tarawih di mana-mana masjid yang ada.
Menurut anak kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan itu, di Malaysia lain pula ceritanya. Apabila Ramadan menjengah, kehangatan Aidilfitri sudah dirasai. Namun, di Mesir, bulan Ramadan dirasakan seolah-olah hari raya.
“Di Mesir, Ramadan disambut meriah seperti hari raya. Kebanyakan penduduk akan memasang pelita besar yang dikenali sebagai fanus. Ia akan ditulis dengan kalimah Allah atau perkataan Ramadan Kareem. Setiap masjid pula biasanya akan menyediakan makanan untuk berbuka puasa yang dinamakan maidatur rohman,” terangnya lanjut.
Penyucian jiwa
Apa yang pasti, kehadiran Ramadan sentiasa dirindui umat Islam yang mengetahui hakikat sebenar kemuliaan bulan tersebut. Ramadan merupakan satu bulan yang mampu mengembalikan kesihatan orang berpuasa dan penyucian jiwa dengan mengekang hawa nafsu daripada bertindak keterlaluan.
Menyedari kepentingan melaksanakan solat tarawih, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Kuliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zuraida Ahmad, 44, mendorong beliau membawa anak-anak ke masjid bagi menunaikan ibadah tersebut.
Menurut ibu kepada lima cahaya mata yang terdiri daripada seorang perempuan dan empat lelaki itu, semua itu dilakukan untuk mendidik mereka mengenal agama.
“Saya mula membawa anak-anak ke masjid ketika mereka berumur lima tahun. Bagi saya, ia waktu yang sesuai untuk mengajar mereka kelebihan melakukan solat tarawih pada bulan Ramadan. Antaranya termasuklah mendidik mereka tentang adab-adab ketika berada di rumah Allah.
“Insya-Allah, apabila berbuat demikian kita boleh membentuk dan melahirkan generasi anak-anak soleh yang mampu menjadi penyejuk mata dan hati para ibu bapa,” ungkap Zuraida sambil tersenyum lantas meminta pendapat suaminya, Meor Abdul Razak Meor Musa.
Jurutera itu memberitahu, anak-anak akan melihat ibu bapa sebagai contoh terhadap apa yang ingin dilakukan. Jadi, sudah pasti ibu bapa perlu menunjukkan akhlak dan peribadi yang baik untuk mereka.
“Pada usia lima tahun, bohonglah kalau kita katakan anak-anak ini akan sentiasa mendengar kata dan berkelakuan baik apabila dibawa ke masjid. Sebaliknya harus diakui sifat keanak-anakan masih melingkari dalam diri mereka.
“Justeru, ada langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengawal tingkah laku mereka supaya tidak mengganggu jemaah lain. Antaranya membawa buku mewarna dan kelengkapan alat tulis termasuk pensel warna.
“Apabila mempunyai aktiviti seperti melukis dan mewarna, ia secara tidak langsung akan mententeramkan kanak-kanak dan mereka lebih fokus. Apa yang penting ialah membiasakan mereka dengan suasana di dalam masjid seperti ketika mengerjakan solat tarawih,” tutur Meor Abdul Razak.
Memilih Masjid Darul Ehsan di Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya, Selangor untuk menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan, pasangan suami isteri itu turut membawa semua anak mereka iaitu Meor Muhammad Hakim, 16, Siti Hajar Hadhirah, 12, Meor Abdullah Harith, 10, serta pasangan kembar Meor Adam Hazrieq dan Meor Ahmad Hazieq, 8.
Bagi Meor Ahmad Hazieq, dia mengaku hanya melaksanakan solat tarawih lapan rakaat berbanding 20 rakaat yang dilakukan pihak masjid tersebut.
“Saya berhenti selepas lapan rakaat kerana terasa penat. Kemudian selepas itu, saya hanya duduk di belakang sambil melihat orang ramai. Tahun ini, saya harap dapat menunaikan solat tarawih setiap hari sepanjang Ramadan,” ujarnya yang bersyukur kerana mempunyai ibu bapa yang prihatin terhadap aspek pendidikan agama kepada anak-anak.
Sementara itu, Imam I Masjid Darul Ehsan, Mohamad Khairi Hussein berkata, pihaknya sepakat mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat bagi Ramadan tahun ini berbanding lapan rakaat tahun lalu.
“Tidak ketinggalan, kami juga turut mengadakan sesi tadarus al-Quran selepas tarawih dalam kalangan ahli kariah lelaki yang berminat. Aktiviti ini berlangsung sehingga pukul 11.30 malam.
“Di samping itu, antara aktiviti lain yang dianjurkan pihak masjid termasuklah berbuka puasa dan moreh setiap hari yang ditaja oleh anak-anak kariah, tadarus al-Quran bagi muslimat di sebelah pagi serta majlis sempena memperingati penurunan al-Quran atau Nuzul Quran pada malam 27 Ramadan,” jelas Mohamad Khairi sambil memberitahu masjid tersebut boleh memuatkan kira-kira 2,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Kosmo