Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata (al-A'raf [7.27]), manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca al-Quran dan al-Sunnah.
Hanya kedua-dua sumber itu mampu menelah dan menembusi alam jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam jin perlu terlebih dahulu merujuk al-Quran dan al-Sunnah supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman dan minda.
Kenyataan yang terlalu umum 'sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia' ini secara tidak langsung akan menzalimi sebahagian jin Islam yang dipuji Allah dan disebut kisah mereka dalam al-Quran. Mereka adalah generasi awal jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada makhluk jin kerana jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (al-Rahman [55:31-36]).
Sekiranya kenyataan 'sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia' ini terus dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat nabi jauh lebih jahat daripada manusia, sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik.
Generasi awal jin ini juga diiktiraf sebagai rasul atau utusan pendakwah dalam kalangan mereka. Firman Allah: "Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?)".-al-An'am [6:130].
Hakikatnya, para rasul hanya diutus dari kalangan manusia. Namun begitu, rasul dari kalangan jin dalam ayat ini adalah wakil kepada rasul atau pendakwah dari kalangan jin yang mendengar bacaan al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad (Tafsir al-Razi). Kisah mereka direkodkan dalam al-Quran.
Sebuah hadis turut merekodkan baginda Rasulullah SAW pernah memuji para sahabatnya dari golongan jin yang begitu sensitif terhadap al-Quran. Baginda pernah membacakan surah al-Rahman dari awal sehingga akhir kepada para sahabat. Selain itu, para ulama hadis seperti Imam Ibn Hajar al-Asqalani tidak ketinggalan menyenaraikan nama golongan awal jin bersama nama para sahabat nabi yang lain. Antara nama yang disebut adalah Zawba'ah, al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (al-Isabah fi Ma'rifat al-Sahabah).
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."
Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi ini, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan). Kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik" (al-Rum [30:41-42]).
Oleh itu, pihak yang selalu menggunakan kenyataan tersebut perlu terlebih dahulu merujuk kepada sumber Islam bagi mengelakkan kejadian sebegini berlaku.