Pages

Wednesday, February 8, 2012

Bertudung VS Free Hair

Bertudung VS Free Hair

Pernahkah kita dengar orang cakap macam ni,
"Walaupun saya tak pakai tudung tapi hati saya baik, ".
ataupun cakap macam ni,
" Alah pakai tudung pun belum tentu baik. Tengoklah berkepit dengan jantan bukan muhrim, ".

Sebenarnya banyak orang memperkatakan atau membuat perbandingan antara perempuan yang pakai tudung dengan yang free hair.
Sebenarnya bagi aku siapalah kita untuk menjatuhkan menghukum atau mengadili seseorang.
Disini aku ingin kongsi sebuah artikel yang aku rujuk dari Genta Rasa.com. Laman sesawang milik Ustaz Pahrol Juoi. Sungguh menarik penjelasan ustaz dalam artikel itu. Jom ikuti dialog dibawah yang aku petik dari laman sesawang ustaz.

Anak Muda: Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik.
                       Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat… perangai mereka ada yang 
                      lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat.
Ustaz: Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?
Anak Muda: Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat.
Ustaz: Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?
Anak Muda: Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak
                       bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak.
Ustaz: Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?
Anak Muda: Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut….
Ustaz: Itu sahaja?
Anak Muda: Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?


Ustaz: Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika 
             diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya.
Anak Muda: Mengapa?
Ustaz: Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan 
             menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran… ia 
             suatu yang objektif dan mutlak.
Anak Muda: Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!.
Ustaz:  akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan 
             Hadis. Itu kan lebih tepat… Ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas.
Anak Muda: Jadi akal kita untuk apa?.
Ustaz: Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana 
             melaksanakannya dalam kehidupan. 
Anak Muda: Ertinya akal kita terikat?
Ustaz: Akal kita bebas, tetapi dalam lingkungan syariat. Sama seperti bumi yang sedang ligat 
            berpusing ini… tetapi tetap pada paksinya.

Anak Muda: Bukankah agama ini untuk orang yang berakal?
Ustaz: Betul. Tetapi tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal. Lebih-lebih lagi perkara-perkara 
            yang ghaib, tidak akan terjangkau oleh akal. Syurga, Neraka, Titian Sirat, Mahsyar misalnya, 
            wajib dipercayai dan diyakini tanpa perlu dilogik-logikkan lagi. Itulah iman.
Anak Muda: Ah, jauh kita menyimpang. Bukankah tadi kita berbincang tentang wanita yang baik? 
                       Saya ulangi, wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat, betulkan?
Ustaz: Separuh betul. 
             Kalau dia wanita yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut… ya dia ‘baik’ di 
             sudut itu. Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di sudut 
             yang lain. Dia tidak baik’ di sudut berpakaian, kerana hukum menutup aurat telah termaktub 
             dalam Al Quran.
Anak Muda: Tetapi dia jujur, amanah…
Ustaz: Orang yang baik menurut Islam ialah orang yang baik hubungannya dengan Allah dan 
             manusia. Menutup aurat perintah Allah, namun percayalah jika benar-benar hatinya baik, 
             insyaAllah lambat laun dia akan menutup aurat juga.
Anak Muda: Apa hujah ustaz? Pengalaman? Fikiran atau telahan?

Ustaz: Masih merujuk kepada Al Hadis.
Anak Muda: Hadis yang mana?
Ustaz: Hadis riwayat Bukhari mengisahkan seorang wanita pelacur berbangsa Yahudi yang telah 
            memberi  minum seekor anjing yang kehausan. Atas sebab sifat belas kasihannya itu dia 
            mendapat hidayah lalu menjadi wanita yang solehah.
Anak Muda: Apa kaitan cerita itu dengan subjek yang kita bincangkan ini?

Ustaz: Secara tidak langsung  itu menunjukkan bagaimana jika hati seseorang mempunyai sifat-sifat 
            baik seperti kasih sayang, belas kasihan dan pemurah, sekalipun kepada anjing, itu boleh 
            menjadi sebab Allah kurniakan hidayah untuk dia beriman seterusnya menjadi wanita 
            solehah.
Anak Muda: Maksud ustaz?
Ustaz: Jika seorang wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup 
             aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat.
Anak Muda: Oh, begitu. Kenapa ya?
Ustaz: Allah menilai pada hati. Jika hati itu baik,  lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya jadi 
            baik.
Anak Muda: Apa pula pendapat ustaz tentang wanita yang menutup aurat tetapi akhlak dan 
                       perangainya buruk? 
Ustaz: Bab aurat dia telah selamat. Alhamdulillah, kewajiban menutup aurat telah dipatuhinya. Apa 
            yang tinggal… dia perlu membaiki akhlak dan perangainya. Dia perlu terus berusaha.
Anak Muda: Jika ada berpura-pura? Menutup aurat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau sekadar 
                       tuntutan fesyen dan trend? 
Ustaz: Hati manusia kita tidak tahu. Kita tidak tahu hati wanita yang menutup aurat tu jahat atau 
           tidak, samalah seperti kita tidak tahu samada hati wanita yang tidak menutup aurat itu baik 
           atau tidak. Soal hati hak Allah… 
Anak Muda: Tetapi katalah hati wanita yang menutup aurat itu benar-benar jahat…
Ustaz: Jika hatinya benar-benar jahat… lambat laun dia akan mendedahkan auratnya semula.
Anak Muda: Mengapa?
Ustaz: Menutup aurat adalah pakaian wanita yang solehah. Wanita yang jahat tidak akan mampu 
            memakai pakaian wanita solehah.
Anak Muda: Patutlah saya lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya 
                       tudungnya semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian 
                      berubah kepada memakai baju T sendat… lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja.
Ustaz: Perubahan luaran gambaran perubahan hati. Yang tidak menutup aurat… akhirnya 
            perlahan-lahan meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik. 
            Sebaliknya, yang menutup aurat…secara beransur-ansur akan mendedahkan auratnya jika 
           kualiti hatinya semakin merosot.
Anak Muda: Siapa wanita yang paling baik?
Ustaz: Tentulah isteri-isteri dan anak-anak nabi Muhammad s.a.w.
Anak Muda: Bagaimana pakaian mereka?
Ustaz: Tentu sahaja mereka menutup aurat. Dan mereka juga pasti memiliki hati yang baik.
Anak Muda: Wanita yang baik mesti menutup aurat?
Ustaz: Ya.
Anak Muda: Wanita yang jahat mesti mendedah aurat?
Ustaz: Tidak semestinya, kerana ada wanita yang berhati baik tetapi belum menutup aurat kerana 
             mungkin dia sedang berusaha untuk mengatasi halangan-halangan luaran dan dalamannya 
             untuk menutup aurat.
Anak Muda: Apa yang boleh kita katakan kepada wanita begitu?
Ustaz: Dia sedang berusaha menjadi wanita yang baik.
Anak Muda: Bagaimana pula dengan wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangainya? 
                       Wajarkah mereka mendedahkan aurat supaya tidak hipokrit. 
Ustaz: Perangai yang buruk bukan alasan mendedahkan aurat. Bagi mereka ini, tuntutan menutup 
             aurat sudah ditegakkan, alhamdulilah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak… itu 
             sahaja yang perlu dilaksanakan. Satu selesai, tinggal lagi satu. Namun bayangkan jika 
             disamping perangai buruk, mereka juga turut mendedahkan aurat … Itu lebih buruk lagi. 
             Dua perkara tak selesai, bab aurat dan bab perangai!
Anak Muda: Jadi apa kita nak kata tentang wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangai ni?
Ustaz: Wallahua’lam. Boleh jadi mereka juga sedang berusaha mengatasi halangan dalaman dan 
             luarannya untuk memperbaiki perangainya. Dan nauzubillah, boleh jadi juga iman mereka 
             sedang merosot sehingga menjejaskan akhlak mereka… yang lama kelamaan jika tidak 
             diatasi  akan menyebabkan mereka kembali mendedahkan aurat! 

Anak Muda  itu tersenyum.

Anak Muda: Saya tahu apa yang saya akan lakukan sekarang…

Ustaz berkata dalam hatinya, " Kenapa? Mengapa? Punya kekasih tidak bertudung tetapi baik hatinya? Atau dikecewakan oleh wanita bertudung tetapi buruk perangainya?"


Soalan akhir itu tidak terluahkan oleh ustaz. Disimpan sahaja di dalam hati. Biarlah anak muda ini belajar dari pengalamannya… insyaAllah esok apabila dia mengalaminya sendiri, dia akan ingat satu persatu apa yang didengarnya pada hari ini!