Pages

Monday, June 4, 2012

Transformasi Messi – pemain bola sepak terbaik dunia

LIONEL Messi, seorang remaja bertubuh kurus yang pernah diketepikan River Plate pada 2000 meskipun dianggap oleh salah seorang jurulatih remaja itu sebagai gabungan antara Omar Sivori dan Diego Maradona, mencatat rekod sebagai penjaring terbanyak di Barcelona dengan 234 gol pada usia 24 tahun semalam.
Keyakinan Barca untuk membimbing pemain muda dari Rosario itu untuk skuad utama mereka dan menjadikannya pemain terbaik dunia mendapat balasan setimpal, ketika River kesal kerana tidak menerima pemain itu sebelum ini.
Messi sudah pun menjulang 18 gelaran dalam lapan musim bersama skuad utama Barca iaitu tiga Liga Juara-Juara, lima La Liga, satu Piala Raja Sepanyol, dua Piala Super Eropah, lima Piala Super Sepanyol dan dua Piala Kelab Dunia.
Tiga gelaran Pemain Tahunan Dunia berturut-turut mungkin akan menjadi empat tahun ini, meskipun Mac belum berakhir.
Kelab Catalan itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara musim ini dan akan beraksi di final Piala Raja Sepanyol menentang Athletic Bilbao, Mei ini meskipun mereka ketinggalan lima mata di belakang Real Madrid dalam saingan La Liga dan masih berbaki 10 perlawanan.
Messi sekali lagi berada di kemuncak prestasinya semalam dan menjaringkan hatrik untuk kemenangan Barcelona ke atas Granada, 5-3 di Nou Camp, sekali gus memadamkan rekod Cesar Rodriguez sebagai penjaring terbanyak kelab itu sepanjang zaman.
Penyerang berbisa itu yang kini menjaringkan 34 gol liga dan 54 dalam semua kejohanan musim ini memerlukan 314 perlawanan untuk memecahkan rekod ini manakala Rodriguez menjaringkan 232 gol dalam 354 perlawanan rasmi.
“Dia (Messi) berada di kedudukan terbaik dalam sejarah kerana dia menang banyak gelaran penting, menang tiga anugerah Ballon d’Or dan akan memenangi lebih banyak lagi dengan kehebatannya itu,” Johan Cruyff dipetik sebagai berkata dalam majalah terkini Barca.
“Messi adalah pemain terbaik dunia setakat ini,” kata bekas pemain Belanda yang memenangi kejohanan di Eropah sebagai pemain dan jurulatih serta tiga anugerah Pemain Dunia.
“Dia sukar ditandingi, dia berada di tahap berbeza.”
Begitupun memenangi hati peminat di negara sendiri masih menjadi misi sukar buat Messi berbanding di kelabnya di mana dia sering dipersoalkan mengenai kegagalannya melakukan jaringan.
Messi menempuhi tempoh 30 bulan dari Mac 2009 hingga Oktober 2001 dan gagal menemui sebarang jaringan buat Argentina dalam perlawanan antarabangsa tetapi yang sering dipersalahkan adalah jurulatih kebangsaan yang gagal membentuk pasukan hebat untuk menyokongnya.
Begitupun Messi kini semakin menghampiri rekod legenda Argentina sebelum ini, Alfredo di Stefano, pemenang Piala Eropah bersama Real Madrid lima kali dan pemenang Ballon d’Or pada akhir 1950-an dan 1960-an, dalam Liga Juara-Juara.
Pemain hebat dari Amerika Selatan sering menyerlah dalam kejohanan elit di Eropah dan Messi mempamerkan kehebatannya dengan menjadi pemain pertama menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan Liga Juara-Juara sewaktu membelasah Bayer Leverkusen 7-1, bulan ini.
Hakikatnya, Messi menguasai sepenuhnya gerakan penyudah, memilih masa sesuai untuk menewaskan penjaga gol atau menyungkit melepasi pertahanan, mengelirukan mereka sedang dia melakukannya dengan begitu mudah.
Kemahiran itu dipelajari daripada pemain lebih besar dan tua daripadanya di Rosario, Argentina sebelum rawatan hormon di Barcelona membuatkan badannya sedikit berisi tetapi tegap.
“Ketika dia berlatih bersama pasukan utama, dia masih terlalu muda dan saya sedar dia memang berbeza dan suatu masa nanti dia akan menjadi bintang hebat,” kata Ronaldinho, seorang lagi pemenang Ballon d’Or, memberitahu majalah Barca.
“Jika dia teruskan cara permainannya, dia boleh menjadi pemain terbaik dalam sejarah bola sepak.”
sumber: hmetro.com.my