Pages

Saturday, July 14, 2012

Larangan Melintas Di Hadapan Orang Solat



Untuk renungan bersama

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ المَارُّ بَيْنَ يَدَيِ المُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ» قَالَ أَبُو النَّضْرِ: لاَ أَدْرِي، أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، أَوْ شَهْرًا، أَوْ سَنَةً

“Sekiranya orang yang melintas di hadapan orang yang sedang solat mengetahui apa akibat yang akan ia tanggung, nescaya ia berdiri selama empat puluh lebih baik baginya daripada dia melintas di hadapan orang yang sedang solat.”

Abu an-Nadhr (salah seorang perawi hadis ini) berkata, “Aku tidak tahu yang dimaksudkan dengan jumlah “empat puluh” tersebut, adakah empat puluh hari, atau bulan, atau tahun.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 510. Muslim, no. 507)

Ibnu Khuzaimah turut meriwayatkan hadis ini dan meletakkannya dalam bab:

التغليظ في المرور بين المصلي والدليل على أن الوقوف مدة طويلة انتظار سلام المصلي خير من المرور بين يدي المصلي

“Ancaman keras melintas di hadapan orang yang sedang solat, dan merupakan dalil berdiri lama menunggu ucapan salam seseorang yang sedang solat itu lebih baik daripada melintas di hadapannya.” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/14)

Kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

معناه لو يعلم ما عليه من الإثم لاختار الوقوف أربعين على ارتكاب ذلك الإثم ومعنى الحديث النهي الأكيد والوعيد الشديد في ذلك

“Makna hadis ini, sekiranya ia mengetahui betapa besarnya dosa dari perbuatan tersebut, pasti dia akan memilih untuk berhenti selama empat puluh dari perlu menanggung dosa akibat perbuatan tersebut. Jadi, hadis ini adalah larangan yang cukup keras dan ancaman yang berat sebagai akibat perbuatan melintas di hadapan orang solat.” (Syarah Shahih Muslim, 4/225)

Larangan ini merujuk kepada perbuatan melintasi kawasan depan orang yang sedang solat. Sekiranya dia mengenakan sutrah, maka dibolehkan melintas di sebalik sutrah yang dikenakan. Dan tidak boleh melintas di dalam lingkungan kawasan antara sutrah dengan orang solat yang mengenakannya.