Pages

Saturday, May 19, 2012

Pakar Bom Al-Qaeda, Ibrahim amat ditakuti AS

WASHINGTON: Pada usia baru 30 tahun, pakar bom al-Qaeda, Ibrahim al-Asiri menjadi individu paling digeruni pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Ibrahim yang bertanggungjawab terhadap rancangan mengebom sebuah pesawat yang dalam penerbangan ke Amerika Syarikat baru-baru ini, amat membenci negara itu.
Berulang kali Ibrahim menghasilkan bom yang gagal dikesan pengimbas keselamatan, termasuk bom seluar dalam yang mensasarkan sebuah jet dalam penerbangan ke Detroit, Amerika Syarikat pada 2008, bom yang disembunyikan dalam katrij pencetak yang mahu diletupkannya di Chicago dan juga sebutir bom yang disembunyikan dalam tubuh adiknya yang melancarkan serangan berani mati terhadap seorang pegawai Arab Saudi.
 Ibrahim, warga Saudi belajar kimia di sebuah kolej menjadi radikal selepas kematian abangnya, kata ibu bapanya.
“Kematian itu menyebabkan dia berubah menjadi berbahaya,” kata Mike Rogers, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Senat Amerika Syarikat.
“Kita mahu memastikan dia tidak mempunyai peluang untuk terus membuat bom atau menurunkan pengetahuannya kepada sesiapa saja yang ingin membuatnya,” kata Rogers.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat memberitahu media, rekaan terbaru Ibrahim membabitkan bom yang dipasang dalam tubuh pejuang serta yang tersembunyi dalam haiwan peliharaan yang dibawa menaiki pesawat, bom dalam kamera dan pemacu cakera luaran yang boleh meletup jika dipasang pada komputer riba.
“Dia begitu inovatif dalam mencari jalan untuk membuat bom yang dibawa ke dalam pesawat dan boleh mengelak daripada dikesan mesin pengimbas di lapangan terbang,” kata bekas penasihat kanan Markas Operasi Khas Amerika Syarikat, Seth Jones.
Kebencian pakar buat bom itu terhadap Amerika meningkatkan lagi ancaman.
“Ibrahim amat bencikan Amerika Syarikat. Dia benci apa yang dibawa oleh budaya Amerika kepada dunia. Dia menyokong ideologi Osama bin Laden dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan bom yang boleh membunuh seberapa ramai penduduk Amerika. Dia bencikan ideologi Amerika dan nilai Barat.
Ibrahim terselamat daripada sekurang-kurangnya satu serangan dron Amerika Syarikat tahun lalu. – Agensi