KETAGIHAN MEROKOK
Ketagihan
Dalam kebanyakan kes, ketagihan merupakan penyebab mengapa terlalu susah untuk berhenti daripada merokok. Dengan merokok anda memperkenalkan bahan-bahan asing kepada badan seperti nikotin.
Nikotinlah sebenarnya yang menyebabkan ketagihan kepada rokok. Bukan rokok yang menghasilkan ketagihan tersebut tetapi bergantungnya badan terhadap nikotin yang terdapat di dalam rokok. Walaupun nikotin adalah salah satu daripada beribu bahan-bahan di dalam asap rokok, tetapi ia adalah satu-satunya yang akan terus membuat anda kembali untuk mendapatkan satu lagi rokok. Merokok boleh menjadi satu tabiat yang susah dihentikan.
Nikotin
Nikotin adalah dadah yang mempengaruhi otak dan sistem saraf. Ia merupakan dadah terbentuk semula jadi yang terdapat dalam daun tembakau. Nikotin tidak pernah dijumpai di mana-mana bahan atau pokok-pokok yang lain. Nikotin pada dos yang rendah boleh merangsang sel-sel saraf, menimbulkan rasa kewaspadaan atau ketenangan. Pada dos yang tinggi, nikotin telah digunakan di dalam beberapa racun serangga.
Kesan-kesan
Nikotin adalah dadah yang kuat. Ia boleh mempengaruhi otak dan sistem saraf. Apabila asap daripada rokok disedut, ia akan terus masuk ke paru-paru. Dari sana semua bahan-bahan berpotensi merbahaya masuk ke dalam saluran darah badan. Lebih kurang 7 saat, satu perempat daripada nikotin dibawa terus ke otak. Tiga perempat daripadanya pergi ke tempat-tempat lain.
Lebih ketagihan
Penyelidikan-penyelidikan menunjukkan nikotin dalam produk tembakaulah yang menyebabkan peningkatan yang tinggi dalam tabiat merokok. Perokok-perokok menjadi lali atau membina toleransi terhadap dadah dan bergantung pada nikotin yang lebih banyak untuk memenuhi permintaan badannya terhadap dadah. Disebabkan toleransi ini, pengguna tembakau mesti menambahkan penggunaan tembakau untuk mengalahkan atau melangkau toleransi ini.