Pages

Monday, January 23, 2012

SEBAB-SEBAB DOA SAAD BIN ABI WAQQAS MAKBUL.


Saad bin Abi Waqqas berkata, ‘Ya Rasulullah! Aku memohon kepada Allah supaya dijadikan aku orang yang diperkenankan doanya.’

Lalu Rasulullah s.a.w. menasihati Saad dengan sabdanya,
‘Hai Saad! Perbaikilah makanan engkau, nescaya engkau adalah orang yang diperkenankan doanya. Demi Muhammad di dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang hamba memasukkan yang haram ke dalam perutnya, tiada diteriema Allah amalnya selama empat puluh hari. Mana-mana hamba yang darah dagingnya tumbuh dari yang haram, maka api neraka lebih layak baginya. Riwayat At Tabarani – (Matan Arbain)
Dalam banyak riwayat dinyatakan bahawa para sahabat mendapati Saad bin Waqqas adalah termasuk di kalangan orang-orang yang dimakbulkan doanya.

Saad bin Waqqas sendiri menyatakan dengan tegas,

‘Bahawa aku tidak pernah mengangkat ke mulutku sesuatu makanan, melainkan aku tahu dari mana datangnya dan dari mana pula keluarnya.

Difahami dari hadith dan peristiwa ini, bahawa doa yang diperkenankan adalah doa orang yang memakan makanan halal.

Orang yang beriman dikehendaki supaya jiwanya bersih dan hatinya digerakkan oleh kekuatan darah yang bersih, dari makanan halal.,

Suatu ketika Baginda Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki yang kusut masai rambutnya, berdebu wajahnya kerana lama dan jauh perjalanannya. Dia mengangkat tangan berdoa Allah dengan katanya, ‘Wahai tuhanku, wahai tuhanku!’

Keadaannya nampak bersungguh-sungguh memohon kepada Allah. Tetapi malang nasibnya kerana doanya tidak dimakbulkan. Baginda Rasulullah SAW menjelaskan, 
‘Makannya haram, minumnya haram, pakaiannya haram, disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah boleh dimakbulkan doanya.’(Riwayat Muslim).
Mafhum dari hadith ini, makanan halal adalah syarat penting termakbulnya doa. Sebaliknya pula, memakan makanan yang haram menyebabkan doa tidak dimakbulkan.