Setiap dari kita pernah berjanji kepada seseorang. Namun ada janji yang dapat ditunaikan dan ada sesetengah janji yang tak tertunaikan oleh kita kerana kurang kemampuan pada masa yang telah dijanjikan. Tetapi belum lagi dikatakan bahawa kita orang-orang yang munafik tetapi mempunyai ciri-ciri orang yang munafik.
Semuga dijauhkan ciri-ciri orang munafik ini dari dalam diri kita sifat yang keji ini. Apa yang telah dijanji pada masa yang lalu yang tidak termampu ditunaikan itu dengan niat akan menunaikan apabila ada kemampuan nanti.
Rasulullah saw diutuskan untuk mengajarkan umat manusia berakhlak mulia, sama dalam berhubungan dengan Allah dan sesama manusia. Ada banyak contoh akhlak mulia diajarkan Rasulullah SAW dalam berhubungan sesama manusia antaranya ialah menepati janji.
Memang diakui kita tidak terlepas daripada membuat janji ketika menjalani kehidupan seharian. Contohnya, suami berjanji dengan isterinya, ayah berjanji dengan anaknya, sahabat berjanji dengan sahabatnya, rakan sekerja berjanji rakannya, pekerja berjanji dengan majikannya, pemimpin berjanji dengan rakyatnya dan begitulah sebaliknya.
Malah, ada kala seseorang itu berjanji juga dengan Allah atau bersumpah dengan nama-Nya untuk melakukan perkara kebajikan dan meninggalkan kemungkaran. Hakikatnya Islam tidak melarang umatnya berjanji dengan sesiapa pun, asalkan janji itu ditepati dan ditunaikan, khususnya dalam perkara kebajikan.
Allah SWT berfirman bermaksud:
“Wahai orang beriman, penuhi serta sempurnakanlah segala perjanjian (yang kamu buat).” (Surah al-Ma’idah, ayat 1)
Perjanjian adalah amanah yang wajib ditunaikan. Soal meringan-ringankan perjanjian dan tidak menepati perkara dijanjikan termasuk dalam kategori dosa besar. Ia sangat dibenci dan dimurkai Allah.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Wahai orang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saff, ayat 2-3)
Memungkiri janji boleh mendatangkan implikasi negatif kepada kepada pihak berjanji. Akibat memungkiri janji hubungan seorang sahabat dengan sahabat menjadi renggang, pekerja dengan majikan bermusuhan, suami isteri berselisih faham dan tidak wujud perasaan kasih sayang antara ayah dengan anaknya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Tiga perkara, sesiapa yang padanya ada tiga perkara itu, maka dia adalah seorang munafik walaupun ia berpuasa, mengerjakan solat dan mengakui dia seorang Muslim. (Tiga perkara itu) ialah apabila berbicara, ia berdusta; apabila berjanji, ia menyalahi janji; dan apabila diberi amanah, ia khianati.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebagai panduan, Islam meletakkan adab dalam berjanji antaranya mengucapkan lafaz ‘Insya-Allah’ apabila berjanji. Inilah yang menjadi kebiasaan dalam kalangan kita, apabila berjanji akan mengucapkan ‘insya-Allah; dengan maksud tidak memberatkan apa dijanjikan itu.
Ucapan ‘insya-Allah’ bukanlah alasan untuk tidak menyempurnakan janji. Bahkan perkataan itu hendaklah disertai dengan azam menyempurnakan janji supaya tidak termasuk dalam golongan yang dibenci Allah.
Allah SWT berfirman bermaksud:
“Dan jika kamu khuatir akan terjadinya pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang khianat.” (Surah al-Anfal, ayat 58)
Wassalam