Kisah lama, kisah beradabnya para ulama dulu-dulu tidak seperti hari ini. Suatu hari Sayyid Alawi bin Abbas al-Maliki al-Makki r.h (السيد علوي بن عباس المالكي المكي) - ayahanda Habibuna Dr. Sayyid Muhammad bin Alawi r.h mengajar di Masjidil Haram. Ketika itu para ulama pelbagai mazhab dan fikrah masih bebas mengajar di serambi-serambi Masjidil Haram. Dalam masa yang sama di ujung serambi lain ada Syeikh Abdul Rahman bin Sa’di (الشيخ عبد الرحمن بن ناصر السعدي) sedang mengajar dihadapan murid-muridnya. Syeikh ini antara orang alim yang ada pada zaman tersebut. Pengarang kitab tafsir Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Manan [تيسير الكريم الرحمن في تفسير كلام المنان].
Di Masjidil Haram ketika itu umat Islam sedang sibuk bertawaf di Kaabah. Tiba-tiba langit mendung lalu turunlah hujan membasahi bumi Mekah. Bila begitu turunlah air dari pancuran emas Kaabah yang dikenali dengan nama Mizab (الميزاب). Maka orang disitu pun berebut-rebut mendapatkan air yang turun dari Mizab. Ada yang menadah tangan buat basuh muka dan ada yang mandi.
Pengawal Masjidil Haram yang berada disitu memarahi mereka berbuat begitu dan cuba menghalang para jemaah yang semakin galak mandi air dari Mizab. “Syirik! Syirik!”, Teriak para pengawal.
Para jemaah tidak puas hati kemudian pergi bertanya kepada Sayyid Alawi yang sedang dalam halaqah pengajian. Sayyid menjawab, “Hukumnya harus, boleh mandi untuk ambil berkat”.
Selepas berpuas hati dengan jawapan tersebut, para jemaah tadi pergi semula ke Mizab dan menadah air. Mereka berkata kepada pengawal disitu, “Kami tak kisah mu kata kami syirik kerana kami sudah dapatkan fatwa dari Sayyid Alawi.”
Para pengawal pula tidak berpuas hati dengan sindiran jemaah tadi. Mereka pun pergi meminta fatwa dengan Syeikh Abdul Rahman Sa’di dan mengadu hal fatwa Sayyid Alawi sebentar tadi.
Mendengar masalah itu Syeikh Abdul Rahman Sa’di tidak cepat melatah seperti ustaz-ustaz zaman sekarang. Beliau pergi menemui Sayyid Alawi dan duduk disebelahnya dengan penuh adab. Para jemaah sudah ramai mengerumuni dua ulama tersebut. Sangka mereka akan mendapat menyaksikan perdebat hebat antara dua ulama besar Mekah.
Syeikh Ibnu Sa’di: Benarkah saudara berfatwa begitu bahawa air ini berkat?
Sayyid Alawi: Ya, benar, bahkan ada dua berkat.
Syeikh Ibnu Sa’di: Bagaimana saudara boleh berfikiran demikian? Apa dalilnya?
Sayyid Alawi: Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran Surah Qaf ayat 9 berkenaan keberkatan air hujan:
وَنَزَّلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً مُبَارَكًا ... (٩) سورة ق
Ertinya: Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (barokah).
Tentang Kaabah pula bukankah Allah SWT telah berfirman:
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا ... (٩٦) سورة آل عمران
Ertinya: Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat.
Berdasar dua ayat di atas menjadi dalil bahawa air hujan barokah dan Kaabah adalah barokah.
Syeikh Ibnu Sa’di termenung sebentar lalu berkata: SubhanaLlah, bagaimana kami boleh terlupa dua ayat tersebut.
Syeikh Abdul Rahman Sa’di pun mengucapkan terima kasih atas penerangan Sayyid Alawi dan meminta izin untuk beredar. Akan tetapi Sayyid Alawi menghalangnya dan berkata, “Nanti dulu wahai Syeikh, kamu lihat para pengawal masih lagi menghalang para jemaah nak ambil berkat air turun dari Mizab. Mereka juga juga menuduh syirik ke atas para jemaah lain. Tolong uruskan mereka.”
Syeikh Abdul Rahman Sa’di berfikir bagaimana nak buat ... akhirnya Syeikh pun pergi ke Mizab dan menadah tangan mengambil berkat air tersebut. Bila melihat perbuatan Syeikh Sa’di para pengawal pun beredar.
Demikianlah secebis kisah yang telah berlaku di Masjdil Haram. Begitulah adab orang alim, mereka tidak cepat melatah dan tidak cepat-cepat memberi fatwa melawan orang yang tidak sependapat dengan kefahaman mereka. Mereka sanggup bermuzakarah dalam kebenaran. Sayugialah hal ini juga berlaku dikalangan orang alim kita di Malaysia. Dalam hal ini dibolehkan mengambil tabarruk atau berkat dari air yang turun dari Mizab. Bukan bidaah yang menyesatkan.
Barangkali dikalangan penganut anti Salafi Saudi akan berkata, “Tu dia perangai Wahabi”. Dikalangan penganut tegar Salafi pula apa katanya? Entah saya bukan geng sana. Yang pasti apa saja pandangan kita adalah berdasar dari sudut mana kita melihatnya. Justeru itu marilah melihatnya dari sudut keterbukaan dan penuh tawaduk kerana dua ulama ini sendiri tawaduk dalam perkara khilaf. WaLlahua’lam.