Pages

Saturday, January 21, 2012

Hudud: Undang-Undang Yang Paling Rasional






Dalam tulisan kali ini saya akan cuba menjawab serba sedikit persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan di dalam isu hudud ini. 


Persoalan pertama yang sering dibangkitkan adalah undang-undang hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Untuk tujuan perbincangan katakanlah kita terima bahawa hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya adakah apa sahaja undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan adalah undang-undang yang tidak baik dan perlu diketepikan begitu sahaja?

Jika benar sesuatu undang-undang itu benar-benar bercanggah dengan Perlembagaan, tidak bolehkah Perlembagaan tersebut dipinda bagi membolehkan undang-undang yang baik tersebut diluluskan dan seterusnya dilaksanakan.
 

 


 
Sememangnya bermasalah

Adakah meminda peruntukkan dalam Perlembagaan adalah suatu jenayah atau 'dosa' yang besar dan tidak boleh dimaafkan sama sekali. Bukankah selama ini Perlembagaan negara ini telah beberapa kali dipinda?

Selanjutnya adakah semua undang-undang yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang yang baik dan tidak menzalimi rakyat? Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Penerbitan & Mesin Cetak dan Akta Universiti dan Universiti Kolej (Auku) adalah contoh undang-undang yang digubal menurut peruntukan Perlembagaan dan sehingga kini diputuskan oleh Mahkamah, undang-undang tersebut adalah selaras dengan Perlembagaan.

Menzalimi Rakyat

Tetapi siapa yang boleh menafikan akta-akta tersebut, meskipun selaras dengan Perlembagaan, adalah undang-undang yang zalim dan telah terbukti menzalimi rakyat yang tidak berdosa.

Sehingga kini suara-suara yang meminta undang-undang tersebut sama ada dipinda atau dimansuhkan masih terus berkumandang. Meskipun undang-undang tersebut selaras dengan Perlembagaan kenapakah ianya diminta untuk dipinda atau dimansuhkan?

Dalam konteks undang-undang hudud adilkah untuk kita meminta undang-undang Allah tersebut dipinda bagi membolehkan ianya selaras dengan Perlembagaan? Sudah tentu alternatif terbaik, jika ianya bercanggah dengan Perlembagaan maka sewajarnya Perlembagaan itu sendiri yang harus dipinda.

Mungkin ada yang berhujah adalah sukar untuk kita meminda Perlembagaan Persekutuan? Apa yang lebih susah dari meminda peruntukan Perlembagaan Persekutuan apabila ianya menyentuh isu imuniti Raja. Bukan sahaja pindaan tersebut memerlukan dua pertiga tetapi ia juga perlu persetujuan Majlis Raja-Raja. Tetapi, seperti yang kita maklum, pindaan tersebut berjaya dilakukan meskipun sukar.

Hujah yang saya berikan di atas bertolak dari andaian bahawa undang-undang hudud bercanggah dengan Perlembagaan. Namun perlu saya nyatakan di sini ada juga dari kalangan ahli undang-undang yang berpendapat undang-undang hudud tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

Senarai Negeri

Antara hujah lain yang dikemukakan oleh ahli undang-undang ini adalah bidang kuasa kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang sepertimana yang dinyatakan di dalam Senarai Negeri di Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah termasuk menggubal undang-undang Islam (Islamic law) dan perkataan undang-undang Islam di dalam Senarai Negeri tersebut hendaklah ditafsirkan secara luas sepertimana yang difahami oleh Islam.

Persoalan kedua yang juga sering ditimbulkan adalah undang-undang hudud terlalu keras dan ianya menakutkan orang bukan Islam. Undang-undang memotong tangan pencuri dan merejam penzina dianggap undang-undang yang tidak bertamadun dan ketinggalan zaman.

Pertamanya persoalan orang bukan Islam. Jika dilihat kepada Enakmen Hudud yang digubal di Kelantan dan Terengganu, adalah jelas ianya tidak terpakai kepada orang-orang bukan Islam. Oleh itu kebimbangan orang-orang bukan Islam tidak berasas.

Selanjutnya isu sama ada sesuatu undang-undang itu keras, tidak bertamadun atau ketinggalan zaman adalah persoalan persepsi. Kita lihat undang-undang yang mengenakan hukum mati sendiri, sehingga kini ianya menjadi bahan perbahasan. Ada yang menyatakan ianya adalah undang-undang yang keras, tidak bertamadun dan ketinggalan zaman kerana ianya bercanggah dengan hak asasi manusia.

Memandangkan persepsi masyarakat berbeza, ada negara yang meneruskan hukum mati dan ada negara yang tidak. Hatta bagi negara yang mengekalkan hukum mati mereka juga tidak sepakat tentang kaedah untuk melaksanakan undang-undang hukum mati tersebut.

Menyuntik Racun

Ada yang setuju dengan kaedah menggantung penjenayah. Ada pula yang setuju ianya dilaksanakan dengan cara menembak penjenayah dan ada pula yang setuju ianya dilaksanakan dengan cara menyuntik racun atau menggunakan bilik gas beracun. Bagi yang memilih untuk menggantung, mereka berpendapat hukuman tembak adalah terlalu keras dan tidak bertamadun dan begitulah sebaliknya.

Hatta ada juga para sarjana undang-undang yang berhujah undang-undang memenjarakan penjenayah juga bukan sahaja zalim tetapi juga tidak berkesan mengurangkan kadar jenayah. Ini kerana hukuman penjara bukan sahaja menghukum penjenayah yang melakukan jenayah tetapi juga ianya menghukum orang lain yang tidak terlibat dengan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah tersebut.

Sebagai contoh jika seorang pencuri dipenjarakan, ianya bukan sahaja menghukum pencuri tetapi juga menghukum isteri dan anak-anaknya kerana mereka dengan secara paksa dipisahkan dari suami dan bapa mereka. Ia juga menghukum pembayar cukai yang terpaksa menanggung makan dan minum si pencuri tersebut di penjara. Tidakkah ini zalim?

Negara kita mengenakan hukuman penjara ke atas pencuri namun secara jujur adakah undang-undang tersebut telah berjaya mengurangkan kadar jenayah kecurian dalam negara ini? Pada masa kini kecurian juga boleh berlaku di dalam balai polis sendiri, tempat yang sepatutnya paling selamat.
 
 
 
 
Penjara semakin sesak menunjukkan tiada kesan positif langkah ini

Selanjutnya jika kita mempelajari falsafah, prinsip dan teori hukuman kita tentu biasa dengan istilah pencegahan. Tujuan hukuman antara lain adalah untuk mencegah. Hukuman potong tangan sebagai contoh memenuhi kriteria pencegahan kerana ianya bukan sahaja menakutkan pencuri tetapi juga orang-orang yang mungkin ada niat mencuri.

Pengaiban

Hukuman tersebut juga satu bentuk pengaiban yang paling baik kepada penjenayah. Tangan kudung sejak dari lahir atau tangan kudung kerana dipotong oleh doktor atas alasan kesihatan sudah tentu tidak sama aibnya dengan tangan kudung kerana menjalani hukuman kerana mencuri.

Seperkara lagi yang perlu kita faham meskipun hukum hudud secara relatifnya mengandungi hukuman yang agak keras ianya juga dalam masa yang sama menuntut satu kaedah pembuktian yang paling ketat. Dalam bahasa undang-undang, jenayah hudud menuntut satu standard pembuktian yang lebih tinggi dari undang-undang jenayah yang diamalkan sekarang.

Standard pembuktian jenayah hudud adalah melampaui segala keraguan sedangkan undang-undnag jenayah yang sedia ada hanya mengenakan standard pembuktian 'melampaui keraguan munasabah' sahaja. Jadi undang-undang manakah yang lebih melindungi hak orang yang dituduh?