Pages

Saturday, September 1, 2012

Ismail, Muslim Tuntut Permohonan Maaf


PEMAIN tengah pasukan Terengganu, Ismail Faruqi menuntut permohonan maaf secara terbuka dari pengendali Skuad Penyu, Peter James Butler berhubung dakwaan negatif bekas jurulatih Kelantan itu yang menyifatkan beliau bersama rakan sepasukan, Muslim Ahmad dilabelkan tidak berdisiplin.

Menurutnya, dia dan Muslim telah menyerahkan perkara itu kepada pihak atasan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi menilai situasi sebenar.

“Dakwaan itu (membawa wanita ke hotel) sangat tidak berasas, jadi saya dan Muslim telah menyerahkan kes ini kepada pihak atasan untuk menilai situasi ini.

“Tuduhan berat itu telah memberikan kesan buruk kepada imej kami, keluarga, pasukan dan pihak pengurusan PBSNT,” katanya ketika dihubungi semalam.

Justeru, dua tonggak utama ini menuntut permohonan maaf secara terbuka (dari Butler) untuk membersihkan nama baik mereka di atas kesalahan yang tidak dilakukan mereka berdua.

Semalam sebuah akhbar tempatan melaporkan Ismail bersama Muslim digugurkan dari skuad utama Terengganu selepas mereka didakwa pulang lewat ke bilik penginapan kira-kira jam 3 pagi.

Lebih mengaibkan, mereka juga didakwa membawa wanita ke hotel selepas perlawanan menentang Kedah pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar Selasa lalu.

Enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu, Ismail berharap insiden ini memberikan pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati bagi menjamin kariernya sebagai pemain bola sepak.

Sementara itu, Muslim memaklumkan bahawa dia bukannya membawa balik wanita ke bilik penginapannya seperti mana yang didakwa Butler, sebaliknya dia hanya pulang lewat pada hari kejadian kerana membeli makanan dan panadol untuk Ismail yang dikatakan demam.

“Kami tak buat perkara itu (bawa balik mana-mana wanita ke hotel) sebab kami ada bukti, malah kami juga tidak tahu macam mana laporan itu dibuat (Butler) dan dia pun tak buat laporan pada persatuan (PBSNT).

“Memang saya (akui) keluar lewat. Tapi saya keluar beli makanan dan panadol untuk Ismail sebab dia demam,” katanya.
sumber