Pages

Monday, September 17, 2012

Apakah Waktu Terbaik Untuk Bersedekah?

Eh benarkah waktu bersedakah pun ada waktu yang terbaik? Agaknya dalam keadaan harga minyak, makanan dan barangan asasi yang semakin mahal, bersedekah bukanlah satu kecenderungan sebahagian kita. Apatah lagi dalam suasana rakan-rakan di bangku pengajian tinggi atau sepejabat telah naik taraf ke kereta yang lebih canggih, rumah yang lebih luas dan telefon bimbit yang lebih pintar, kita juga ingin mengumpul duit dan sangat berkira apabila bercakap tentang sedekah.




Sebenarnya sedekah adalah satu bentuk pelaburan. Apabila kita bersedekah, Allah akan melipat gandakan kurniaan-Nya kepada kita hingga apa yang sebelum ini tidak cukup menjadi cukup dan apa yang sebelum ini cukup menjadi lebihan. Apa yang penting ialah kita bersedekah secara ikhlas kepada Allah dan beriman akan pulangannya daripada Allah. Bukankah perkataan sedekah itu sendiri berasal daripada perkataan “shidq” yangbererti bukti kebenaran iman seseorang kepada Allah bahawa apa jua harta yang dikeluarkan di jalan-Nya pasti akan memperoleh ganjaran daripada-Nya.

Merujuk kepada masa sedekah, maka sekarang ini adalah masa paling sesuai untuk bersedekah berdasarkan hadis berikut:

Seorang lelaki mendatangi Rasulullah dan bertanya: “Wahai Rasulullah, sedekah yang bagaimanakah yang paling agung?” Maka baginda menjawab: “Kamu bersedekah saat sehat, kikir, takut miskin dan kamu berangan-angan untuk menjadi hartawan yang kaya raya. Dan janganlah kamu lalai hingga nyawamu sampai di tenggorok dan barulah kamu bahagi-bahagikan sedekahmu, ini untuk si Fulan dan ini untuk Fulan. Dan ingatlah (pada saat di hujung nyawa seperti itu), harta memang untuk si Fulan (yakni akan diwarisinya).” [Shahih Muslim, no: 1713]