Pages

Sunday, August 5, 2012

Kepala babi cemar masjid di Perancis

Laluan untuk ke Masjid Salam itu turut dicemari dengan darah babi.

MONTAUBAN – Islamofobia dilihat telah meningkat di Perancis susulan daripada penemuan dua kepala babi di luar masjid di bandar Montauban, kelmarin yang turut mencetuskan kemarahan orang Islam di kawasan itu.

Pengerusi Pemerhati Islamofobia, Abdallah Zekri berkata, perbuatan biadab seperti itu yang dilakukan pada bulan Ramadan sememangnya berunsur provokasi perkauman.


Dalam satu kenyataan, Datuk Bandar Montauban, Brigitte Bareges turut mengutuk tindakan pihak yang tidak menghormati agama Islam dengan meletakkan dua kepala babi tersebut pada tiang berhampiran pintu masuk Masjid Salam itu.

Beberapa khabar angin mendakwa kejadian menggemparkan tersebut mungkin bermotifkan dendam susulan daripada insiden suspek dikenali sebagai Mohammed Merah yang menembak mati tujuh bangsa Yahudi di bandar tersebut pada Mac lalu.

Sementara itu, konflik antara pihak berkuasa Perancis dengan masyarakat Islam di Perancis juga dilihat meningkat semula, Selasa lalu susulan pemecatan empat jurulatih di sebuah kem musim panas hanya kerana mereka berpuasa.

Dianggarkan 5 juta orang Islam di negara tersebut terpaksa berhadapan dengan layanan buruk sesetengah pihak yang terlalu mengamalkan sifat perkauman dan diskriminasi agama.
Sinar