Assalamualaikum,
Ada sebuah lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid "Saujana" bertajuk "Sepohon Pokok" yang berbunyi "Walaupun hidup seribu kalau tak sembahyang apa gunanya". Sembahyang ertinya sujud kepada Allah SWT sebagai penyembahan, pengabadian diri kita kepada Allah SWT berupa perbuatan dan ucapan-ucapan tertentu.
Sebagai umat islam mestilah sentiasa menjalankan perintahnya dengan bersungguh-sungguh hati dengan taat dan dengan tidak terhingga masanya sebagai membalas kepada tuhan yang menjadikan kita. Jika tidak bersujud maka kita akan tergolong didalam golongan syaitan.
“Tidak! Tidak mungkin! Aku tidak akan sujud kepada Adam. Siapakah dia sehingga semua makhluk perlu sujud kepadanya. Dia cuma dijadikan daripada tanah sedangkan aku daripada api. Akulah yang lebih mulia!” bentak syaitan.
Ketika itu, syaitan dan iblis tidak mahu bersujud kepada Adam sebagaimana yang diperintahkan oleh ALLAH SWT. Di hati mereka sudah penuh dengan perasaan dengki melihat ALLAH menciptakan makhluk yang sedemikian sempurna.
Bermula detik itulah, syaitan diusir keluar daripada syurga dan mendapat cercaan daripada ALLAH SWT. Dan bermula saat itu jugalah syaitan berazam dan bersumpah untuk memperdayakan Adam dan anak cucunya sehingga ke hari kiamat.
Dengan dendam yang membara, syaitan membuat permintaan kepada ALLAH SWT.
“Ya ALLAH, berikan aku kesempatan sehingga sampai hari manusia dibangkitkan (hari kiamat).”
Demi merealisasikan hasratnya, syaitan sanggup merayu kepada ALLAH agar usianya dipanjangkan. Bukankah syaitan itu sudah menderhaka? Tetapi hasratnya itu tetap dikabulkan oleh ALLAH SWT.
ALLAH SWT telah berfirman,
“Sesungguhnya engkau diberi waktu (umur panjang) sampai hari yang ditentukan.”
Alangkah gembiranya syaitan mendengar perkenan daripada Tuhan. Lantas dengan angkuh,dia menjawab pula, “ Ya Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menyesatkan aku, aku akan hiasi mereka (manusia) dengan segala kejahatan yang ada di muka bumi ini. Aku juga akan menyesatkan mereka semua, kecuali hamba Engkau yang beriman dan ikhlas.”
Kemudian ALLAH SWT berfirman lagi,
“Inilah janjiku yang benar. Sesungguhnya terhadap hamba-KU, tidak berhak engkau menguasainya. Kecuali orang yang mahu mengikut Engkau, mereka adalah orang-orang yang sesat. Sesungguhnya neraka Jahannam itulah tempat siksaan mereka semuanya. Bagi neraka itu ada tujuh buah pintu dan bagi tiap-tiap pintu itu ada bahagian yang ditentukan untuk orang-orang yang berdosa.”
Demikianlah, sesungguhnya syaitan telah mengotakan janjinya. Dengan usianya yang tidak terbatas berbanding manusia, syaitan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memperdayakan manusia sehingga ke hari kiamat kelak.
Wassalam