Pages

Monday, January 9, 2012

Haram Bertudung Sanggul Tinggi







Ingatan kepada semua wanita yang tidak menutup aurat adalah dosa dan haram perbuatan tersebut. Wanita bertudung tetapi seolah bertelanjang bugil dan wanita yang bersanggul tinggi yang tidak menutup aurat adalah dosa dan haram sepertimana dinyatakan oleh :



Hadith Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud :


"Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikian."(Riwayat Muslim). 
Dan, masalah ini beza dengan wanita yang bertudung, tetapi mempunyai sanggul tinggi di dalam tudungnya pula. Masalah sanggul rambut tinggi seperti bonggol unta ini mestilah dilihat dari tujuannya. 
Kenapa disanggulkan rambut tersebut ? Adakah ia untuk diperlihatkan kepada orang ramai? Adakah untuk menjadikan dirinya cantik? Atau sebagainya. Jikalau sanggul tersebut dibuat adalah untuk kecantikkan dan diperlihatkan oleh orang yang lain (bukan mahram), maka ia haram kerana ia menimbulkan fitnah dan menarik perhatian lelaki yang bukan mahram. Apabila haram ianya adalah berdosa juga walaupun bertudung.
Ini jelas bahawa wanita Islam hanya boleh menghiaskan dirinya untuk suaminya sahaja dan tidak boleh untuk orang lain. Malangnya wanita Islam sekarang ini tidak tahu maksud perhiasan yang dibenarkan dalam Islam. Ada wanita yang memakai pakaian biasa di rumah dan hadapan suaminya dengan alasan tidak bergaya disebabkan duduk di rumah sahaja, senang nak buat kerja rumah dan sebagainya. 
Tetapi apabila wanita tersebut keluar rumah dengan pakaian serba cantik dan memakai minyak wanginya hampir sebatu bauannya sehingga menarik perhatian orang lain. Inilah yang dikatakan haram walaupun niatnya betul dan berpakaian kemas dan cantik ala-ala cun.
Bersanggul tinggi adalah harus apabila tidak menarik perhatian orang lain dan tidak mempunyai niat-niat yang tidak baik sepertimana dinyatakan di atas. 
Awas!!! Jika sanggul tersebut dapat menarik perhatian orang bukan mahram dan boleh membangkitkan syahwat orang lelaki lain, maka ia menjadi haram dan perlu menukar teknik sanggulnya dari tinggi menjadi rendah. Harus bersanggul tinggi dihadapan suaminya atau berpakaian cantik dihadapan suaminya, kerana ini adalah suruhan agama berhias untuk keselesaan suaminya.
Jika dilihat dari trend terkini wanita bertudung mengikut pelbagai berfesyen. Ada yang bersanggul tinggi, ada yang nampak batang leher, ada yang pulak dah macam paderi, ada yang pulak macam nak terjerut batang leher dan semakin hari semakin macam-macam fesyen tersebut. 
Pendapat saya, jika fesyen tersebut tidak melanggar hukum Islam atau syariat Islam tidak menjadi masalah. Kalau ia melanggar syariat Islam walaupun bertudung, tetapi berpakaian ketat seolahnya bertelanjang bugil sepertimana yang ada sekarang, maka itu menjadi haram. Nauzubillah...