KUALA  LUMPUR 1 Dis. - Kementerian Pelancongan menyeru peruncit dan pemain  industri membantu meletakkan negara sebagai destinasi membeli-belah  paling utama termasuk produk teknologi maklumat.
Menteri  berkenaan Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, antara cara terbaik untuk  mempromosikan negara ini sebagai syurga membeli-belah ialah menerusi  media sosial seperti Facebook, dengan mengambil kesempatan terhadap  minat orang ramai untuk IT dalam kehidupan seharian mereka.
"Di  samping itu, lebih banyak pertubuhan sepatutnya meneroka pelancongan  runcit berasaskan teknologi pengguna untuk meningkatkan lagi industri  berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyalakan lampu pokok  Krismas di salah sebuah kompleks membeli-belah di sini malam tadi.
Beliau berkata, perbelanjaan pelancong dalam membeli-belah menyumbang berbilion ringgit kepada pendapatan negara setiap tahun.
Untuk  tujuan ini, katanya adalah penting bagi semua rakyat Malaysia agar  sentiasa mempromsoikan negara kepada orang asing. - BERNAMA

 
