Pages

Wednesday, December 4, 2013

Isu Sabasun: Kronologi, Kontroversi & Hukumnya Dalam Islam [Full Edition]


Ramai yang masih belum faham kenapa konflik isu Sabasun menjadi hangat semenjak dua menjak ini. Dan apa signifigan dan kesannya kepada sistem sosial dan ekonomi Islam di Malaysia amnya serta di Terengganu khususnya. Apa pula sudut pandang hukum Islam dalam polemik Sabasun ini? Ayuh kita bongkar!

Penjelasan Pemilik Sabasun [Kronologi & Kontroversi]

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana member kesempatan dan ruangan kepada saya untuk sama-sama berkongsi tentang cabaran dan ujian yang terpaksa kami usahawan anak negeri hadapi dengan bermacam-macam kerenah birokrasi untuk maju ke hadapan.


Dan antaranya ialah, izinkan saya bercerita daripada awal. Sabasun mula ditubuhkan pada tahun 1995 bermula dengan kedai kecil duapintu, kemudian dengan izin Allah dengan sokongan pelanggan daripada rakyat negeri Terengganu, pada tahun 1999, kami telah mengusahakan sebuah bangunan baru sebelah kedai lama tersebut iaitu bangunan yang ada sekarang di Sabasun1 di Bukit Kecil.

Sabasun pada permulaan penubuhannya.
Jadi, semasa proses pembinaan bangunan tersebut berlaku, dibelakang bangunan yang terdapat parking percuma sekarang ini. Merupakan sebuah paya pada satu masa dahulu. Paya yang luasnya lebih kurang 1 hektar suku, yang mana pada waktu itu, kami pergi rujuk kepada pejabat tanah, pihak kerajaan tidak punya apa-apa idea untuk membangunkan paya tersebut.

Maka sebab itu, sebagai anak negeri Terengganu, usahawan negeri, kami rasa kami perlu untuk kemohon kepada kerajaan negeri untuk membeli tanah tersebut supaya kami dapat mengembangkan perniagaan yang sedia ada. Selain member kemudahan kepada pelanggan dan orang ramai dari segi parking percuma.

Malangnya, selepas 3 kali kami memohon, permohonan kami terus ditolak dan ditolak. Dan pada itu, MBKT masuk di tengah, pun nak berebut tanah yang sama. Sepatutnya pihak berkuasa tempatan menjadi fasilitator iaitu pemudah cara kepada kami peniaga, bukannya menjadi ‘compretitor’, berebut tanah yang 1hektar tu, nak juga.

Padahal tanah lain pun rasa banyak lagi. Kenapa berebut tanah belakang tu hok 1 kektar itu. Oleh kerana, kami nak guna sangat tanah tu, MBKT panggil kami, dia cakap, “kalau kami jual pada kamu, dapat guna 1 kali je, kalau kami sewakan kepada kamu, kami dapat makan yang panjang”. Itu jawapan dia. Tidak ada langsung sikap untuk menyokong anak tempatan.

Tetapi lebih kepada menindas. Nak, tak nak, kami terpaksa terima tawaran itu kerana kami nak guna sangat tanah itu. Parking merupakan nadi kepada mana-mana perniagaan. Kalau tak ada parking itu bukan kedai namanya. Walaupun besar dan comel mane pun kedai itu. Tak ade parking, taka de guna kedai itu. Jadi, disebabkan oleh itu, kami sanggup membayar RM4,000 sebulan kepada MBKT semata-mata untuk bagi ruang parking yang percuma kepada orang awam. Dan pada waktu kami memohon untuk membeli tanah tersebut, pada tahun 2000 tanah itu bernilai RM360,000.

Tempat parking Sabasun yang sempit.
Dan pada hari ini, kami menyewa tanah itu lebih setengah juta ringgit kepada MBKT. Dan lebih teruk daripada itu, tanah itu tak boleh dibuat apa-apa hanya untuk parking sahaja. Kami tak dapat tambah ruang kadai, kami tak dapat tambah bangunan. Sebab itu, kami terpaksa sambung sana, sambung sini sebab tak cukup tanah. Nak berniaga tiada tanah. 

MBKT sepatutnya menyokong kami. Kalau MBKT tidak berebut tanah dengan kami, sudah pasti kami dapat tambah ruang dan bangunan baru, kami dapat menyediakan peluang pekerjaan anak negeri. Mereka sepatutnya melihat secara keseluruhan. Bukan secara pentingkan diri dan berebut dengan rakyat. Nak ambil untung sahaja pada rakyat. Sudah tentu kami nak memulakan perniagaan secepat mungkin. ‘In other’, nak saing persaingan yang ditimbulkan oleh syarikat lain.

Jadi, bangunan siap, normal pegawai MBKT akan datang buat pemeriksaan untuk memberi CF kepada kita. Selepas 2 minggu, kami menunggu banguna yang kosong itu, pihak MBKT tidak datang untuk buat pemeriksaan. Kami terus berhubung dengan pihak MBKT, hantar surat.masuk kerja minggu, tidak hantar juga. Sedangkan masa itu emas tuan-tuan, kami masih menunggu.

Kami ada dua pilihan , masih menunggu atau mati. Kami terpaksa masukkan juga barang. Masa tidak boleh dibuang begitu saja. Masa itu emas, kerana pelaburan yang begitu berjuta-juta sudah dibuat. Kami baut keputusan untuk tidak membuang masa, masukkan barang dulu. Disebabkan barang yang telah dimasukkan, pihak MBKT menggunakan alasan, oleh kerana kami dah masukkan barang , mereka tidak boleh buat pemeriksaan.

Sampai hari ini, 12 tahun sudah tak ada CF. walaupun ketiadaan CF, pihak kami tidak berniat sama sekali untuk engkar pada pihak berkuasa, kami terus berbincang dengan pihak MBKT. Bagaimana kami nak dapatkan CF walaupun apa-apa syarat yang dikenakan. Selepas berbincang beberapa kali, pihak MBKT membuka ruang kembali, dengan mengenakan syarat-syarat tambahan. Kena ikut syarat-syarat tersebut, mungkin kami boleh bagi CF untuk anda.
Sabasun turut membantu penajaan
sukan bola sepak Terengganu.
Untuk itu, kami terus berusaha-berusaha dan ikut. Sebab itu, 17 tahun yang lepas kami tidak pernah gagal untuk memperbaharui lesen. Lessen berniaga, kenapa untuk kali yang ke 18 ini, kami tidak dapat memperbaharui? Dengan alasan CF, sedangkan mereka tahu benda ini dalam proses. 

Sedang dalam perbincangan. Pihak kami sedang ambil langkah-langkah yang hati-hati untuk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Kami sedang buat, contohnya, bomba kata, kami kena ada 1 lagi tangga u8ntuk setiap kedai. Kami sanggup buat, walaupun kos tangga RM60,000.

Bomba cakap lagi, lantai kamu punya stor kamu pakai lantai kayu. Mungkin takut kebakaran. Kami tukar semua lantai. Tukar lantai 120 ribu. Tukar lantai sahaja. Pihak bomba faham, untuk buat kerja-kerja sebegini memakan masa. Mereka juga mengutus surat kepada kita untuk memberi tempoh. Benda-benda ini dalam proses. Kenapa tiba-tiba MBKT pergi sekat lesen. Sekat pula dengan cara yang sangat pelik, bila kami datang nak memperbaharui lessen, kerani dia cakap, lessen anda untuk tahun ini tidak dapat diperbaharui. Kenapa?. Jawab dia, kerana bos saya telefon, suruh ‘block’.

Tidak ada surat, tidak ada kertas hitam putih sehingga hari ini. Setahun doh. Berniaga kacang putih tepi jalan pun ada surat berniaga. Tidak mungkin berniaga pasaraya kene sekat macam tu je. Sedangkan kami membuka pekerjaan kepada 400 orang pekerja anak negeri Terengganu. Tak ada ‘Bangla’, tak ada ‘Nepal’ seorang pun kat sabasun ini. Tidak seperti itu lagi, perkara ini terus dibangkitkan sehingga pada hari ini. Jadi, hanya kami tiada lesen, kepada tuan-tuan, isu lesen hanyalah kecil. Pihak kami tidak henti-henti diugut. Pihak kami tidak pernah dihenti-henti dicari kesalahan untuk dihukum.

Saya bagi contoh kepada tuan-tuan, pada tahun 2007. Merupakan tahun yang sangat-sangat mencabar kepada kami. Apabila pihak kerajaan negeri bersetuju untuk membangunkan Giant dan Mydin sekaligus hanya 400 meter dari kedai kami. Perdana menteri bercakap tentang ‘blue ocean strategy’ . kami dah buat, tapi tiba-tiba giant dan mydin dibuat ‘red ocean’. Kami terpaksa berlawan kedai depan mata. Selama 4 tahun kami bertahan 0% keuntungan bersih, berlawan dengan giant dan mydin. Berkat sokongan pelanggan, pembekal, kami mampu bertahan selama 4 tahun.


Selepas 4 tahun bertahan, baru boleh bernafas sikit, cari kat wakaf tembesu. Kami sampai kat sini, asalnya paya, gelap. Tak ada orang kat sini. Kami meneroka tempat ini, sedikit demi sedikit. Bermula dari tahun 2007. Sikit demi sedikit, bila tempat dah naik comel. Bagi peluang kepada 150 orang anak Terengganu kat sini. Tiba-tiba, nak buat bangunan baru kat sini, pihak kerajaan cakap, tanah kami 10 hektar ini akan diambil balik oleh kerajaan atas alasan nak buat Bandar baru perkasa alam. Tanah kami ini akan dibagi kepada orang asing untuk dibangunkan.

Saya difahamkan, Sabasun akan dihalau keluar, ‘Jaya Jusco’ akan bertandang atas tanah kami. Ini yang dikatakan Menang sorak, kampong tergadai, kami anak tempatan, usahawan negeri. Seperti ayam dikepok mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Ini akan berlaku seterusnya kepada anak cucu kita, kalau kita tak melakulan apa-apa pada hari ini tuan-tuan. Sekian, terima kasih.

*** Ucapan penuh pengusaha dan pemilik Sabasun Hyperruncit, Che Salmi, pada program ‘Lepak santai’ anjuran NGO Ganti, Jumaat 29 November, 2013, di perkarangan Sabasun 2 Wakaf Tembesu. ***


Isu Sabasun: Sudut Pandang Islam [Hukum & Kesan]

Isu yang saya ingin bangkitkan ialah isu hak Sabasun dalam Isu tapak tanahnya di Terengganu. Ia adalah milik bumiputra dan rakyat tempatan Terengganu yang telah diusaha besarkan sehingga dapat menyaingi Hypermarket antarabangsa berdekatan seperti Giant dan termasuk Mydin sendiri. 

Antara isu ekonomi Islam ialah undang-undang dan sistem pengurusan tanah yang terdiri daripada hukum Ihya’ Al-Mawat, Al-Iqta’ dan Al-Hima. Sistem tanah Islam ini adalah sistem yang telah dilaksanakan di tanah melayu sebelum kedatangan Inggeris. Usaha pengubahan dasar tanah Islam olen Inggeris ini telah mendapat tentangan daripada raja-raja melayu seperti Raja Abdullah (Perak) juga oleh gerakan rakyat seperti yang dikepalai oleh Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Limbong di Terengganu.

Penjajah Moden:

Sistem tanah Inggeris ini telah berjaya menggantikan sistem tanah Islam di zaman pemerintahan Melayu muslim, bukan di zaman Inggeris. Di zaman selepas merdeka, bukan di zaman penjajahan.

Dari segi faktanya, sekalipun sistem Torrens telah mula diusahakan oleh Inggeris sejak 1888 untuk menggantikan sistem Tanah Islam di Tanah Melayu, tetapi usaha formal telah mula digubal dengan berdasarkan kepada F.M.S Land Code 1926. Ia bagaimanapun gagal di zaman penjajahan, tetapi mula dilaksanakan secara berperingkat setelah ia mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 1966.

Sistem ini boleh dianggap berjaya menggantikan sistem Islam sepenuhnya selepas 70 tahun, khususnya apabila kesemua sebelas buah Negeri di Semenanjung mempunyai sistem tanah yang diseragamkan mulai 1 Januari 1996 . Ini juga bererti bahawa mulai dari tarikh ini kesemua sebelas Negeri di Semenanjung memakai sistem Torrens.

Kesannya:

Sistem tanah Torrens memberikan kuasa penuh kepada kerajaan dan penguasa untuk menentukan hak pemilikan dan pemanfaatan tanah. Berbeza dengan Islam, di mana sistem undang-undang Islam adalah pengantara antara kerajaan dan rakyat.

Dalam isu Sabasun ini, dari segi Islam, mereka telah berhak mendapatkan tanah tersebut khususnya setelah mereka merujuk kepada pihak pejabat tanah pada tahun 1995 dan tiada apa-apa kegunaan yang dirancang untuk dibangunkan di atas tanah tersebut. Dari segi hukum Ihya’nya, pihak Sabasun sudah berhak ke atas tanah tersebut dan juga berhak ke atas tanah parking paya disebelahnya berdasarkan kepada hukum Syuf’ah. Jika mahkamah hari ini adalah mahkamah Islam, maka secara pastinya pihak Sabasun akan menang di Mahkamah apabila Lawan MBKT dalam isu tanah ini.

Sabda nabi SAW: Barangsiapa yang membangunkan tanah yang bukan milik sesiapa, maka tanah tersebut adalah menjadi hak miliknya. Apa-apa sahaja usaha yang zalim (selepas itu) adalah tidak berhak (untuk mengambilnya). – (Hadis Sahih riwayat Imam Malik).

Syuf’ah bermaksud, hak kejiranan tanah atau rumah apabila pemiliknya hendak menjualnya kepada orang lain. Dalam konteks Sabasun ini, sekalipun dari segi Islam adalah salah apabila MBKT bersikap seolah-olah satu entiti perniagaan, tetapi diandaikan ia adalah sah sekalipun, maka penjualan tanah parking kepada pihak ketiga tanpa menjualnya kepada jiran awal (Sabasun) adalah tidak wajar berdasarkan hukum syuf’ah, lebih-lebih lagi apabila penjualan itu memberikan kesan negatif kepada jiran (Sabasun).

Sabda nabi SAW: Bahawa nabi SAW telah melaksanakan (undang-undang) Syufaah dalam kes tanah dan kediaman. – (hadis sahih riwayat Imam Ahmad).
Dan sabda nabi SAW: Jiran kediaman adalah lebih berhak (ditawarkan jualan) berbanding orang lain. – (Hadis sahih riwayat Imam Ahmad, Tarmizi dan lain-lain).

Tetapi malangnya, undang-undang hari ini digubal hanya memberikan kuasa kepada pihak berkuasa. Apabila MBKT ingin menjualnya kepada sesiapa sahaja, maka penerokanya, pemajunya yang asal tidak dibela oleh undang-undang yang sedia ada. Dalam kes ini, Sabasun tiada hak langsung apabila MBKT ingin menyerahkan tanah tersebut kepada pihak lain.

Dengan sistem Torrens (modified Torrens) ini, kuasa mutlak adalah kuasa mereka yang memegang kuasa. Semua tanah yang bukan milik individu adalah milik kerajaan yang tidak boleh dimilki oleh rakyat secara sah melainkan dengan izin penguasa. Satu sistem yang dihapuskan oleh Nabi SAW dengan digantikan sistem Islam yang adil untuk semua.

Tetapi sistem zalim yang dihapuskan dengan kedatangan Islam, telah diletakkan di dalam lipatan sejarah bukan oleh penjajah, tetapi oleh pemerintah Muslim yang konon-kononnya menerajui sebuah negara merdeka pada zahirnya, tetapi penjaya kegagalan penjajah di zaman penjajahan. Alhamdulillah, sistem ini tetap dijagai oleh Allah didalam kitab sucinya dan hadis nabinya SAW. Sekalipun ia telah diusahakan supaya dimuziumkan di dalam lipatan sejarah, dipateri weldngkan di dalam kotak besi, ia tetap akan muncul semula sebagaimana janji-janji Allah. Maka sekarang adalah masanya.

Sistem Sekarang Penyubur Amalan Rasuah:

Dalam sistem tanah hari ini, amalah rasuah disuburkan oleh sistem itu sendiri. Rasuah pegawai tanah, rasuah DO tanah, rasuah Menteri Besar adalah sesuatu yang tidak boleh ditolak pada hari ini justeru hak milik sesuatu tanah adalah ditangannya. Memberi suapan adalah satu cara yang sangat efectif (berkesan) untuk mendapatkan hak sesuatu tanah justeru kuasa meluluskan berada ditangannya sebagaimana menurut peruntukan undang-undang yang ada.

Statament saya ini bukan bermaksud saya terus menuduh mereka yang memegang kuasa memakan rasuah, tetapi statement saya ini bermaksud sesuatu yang sangat-sangat tidak mustahil untuk rasuah berlakuk secara berleluasa, khususnya dalam sistem yang audit negara yang diberikan kuasa yang sangat terhad.

Di dalam Islam, adalah sangat mustahil untuk rasuah mencelah masuk justeru undang-undang Islam telah menetapkan pemilikan tanah melalui pembuktian siapa yang mendahului pembangunannya. Rakyat dan kerajaan ditengahi (digaris pandukan) oleh undang-undang tanah yang dibuat oleh pencipta makhluk ini sendiri, yang wujud sebelum daripada kewujudan manusia, bersifat mencorakkan manusia justeru kewujudan undang-undang ini adalah bersifat Qadim. 

Ini sangat berbeza dengan undang-undang tanah moden, ia dicorakkan oleh manusia justeru kewujudannya adalah selepas seseorang manusia mendapat kuasa. Dengan kata lain, undang-undang tanah konvensional wujud selepas wujudnya kuasa, berbeza dengan undang-undang tanah Islam, di mana ianya telah digubal sebelum manusia memegang tampuk khalifah di atas muka bumi ini. Itulah maksud Al-Qadim pada sistem Islam.

Penutup dan Kesimpulan: 

Justeru itu, jika kes Sabasun ini diadili dengan sistem Islam, nescaya akan dinilai siapa yang terlebih dahulu membangunkan tapak tanah berkenaan. Sepastinya semua menyaksikan bahawa ia adalah Sabasun. Sejak saya di peringkat menengah lagi, saya dan orang-orang tempatan sangat bangga dengan Sabasun ini justeru ia adalah milik rakyat tempatan. Kebanggaan ini masih segar dalam ingatan juster lokasi Sabasun ini tidak jauh dari kampong asal saya.

*** Ustaz Zaharudin Muhammad, Pengarang Kertas Kerja "Pengurusan Tanah Dalam Islam dan Bahayanya Lease Hold Kepada Masa Depan Rakyat", Universiti Al Azhar Mesir, Ahli Majlis Syura Ulama' PAS ***

Berjuang bersama rakyat marhaen, demi rakyat, untuk rakyat! #SelamatkanSABASUN