Pages

Wednesday, June 13, 2012

Zizan 'berlakon' filem Cina



ZIZAN RAZAK



GABUNGAN tiga suara selebriti terkenal Malaysia, Zizan Razak, Harun Salim Bachik dan Sharifah Shahira, filem Cina Ghost Buddies yang kini dialih suara ke bahasa Melayu dengan judul Kawan-Kawanku Hantu begitu menarik untuk ditonton seisi keluarga.
Filem komedi yang diterbitkan oleh Astro Shaw Sdn. Bhd. dengan kerjasama Double Vision Picture Sdn. Bhd. itu merupakan sebuah filem Cina terbitan Singapura lakonan pelawak terkenal Singapura, Mark Lee dan pemegang anugerah Pelakon Hong Kong Terbaik, Maggie Shiu.
Apa yang menarik, ketiga-tiga Zizan, Harun dan Shahira masing-masing tidak hanya mengalih suara untuk satu karakter sahaja tetapi mampu mengalih suara lebih daripada tiga karakter dalam filem Kawan-Kawanku Hantu.

Menjadi satu cabaran buat Zizan, Harun dan Shahira untuk memastikan setiap dialog yang diucapkan untuk setiap babak bersesuaian dan mencuit hati tetapi masih mengekalkan jalan cerita asal filem Ghost Buddies. Filem Kawan-Kawanku Hantu yang dialih suara oleh tiga pelakon itu kini dapat ditonton secara eksklusif di Astro First.
Menurut Pengurus Saluran Astro First, Shoba Devi, objektif utama versi alih suara dihasilkan untuk filem ini adalah supaya ia dapat ditonton oleh semua penonton sama ada dalam bahasa Cina atau bahasa Melayu.
“Astro First cuba mencipta kelainan dengan menggunakan inisiatif alih bahasa berbanding penggunaan sari kata kerana selain dapat menyuntik cita rasa tempatan ke dalam filem itu, mereka juga percaya ia juga dapat membuka ruang kepada filem seumpama itu untuk melebarkan capaian kepada seluruh penonton di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, ungkap Pengurus Besar Tayangan Unggul Sdn. Bhd. iaitu Gayatri Su-Lin Pillai: “Melihat kepada sambutan yang baik terhadap filem Ghost Buddies di Singapura, kedua-dua produksi iaitu Astro Shaw dan Double Vision mengambil peluang menghasilkan filem alih bahasa khas buat penonton di Malaysia.”
Tambah Gayatri, filem versi alih suara Kawan-Kawanku Hantu itu juga menggunakan khidmat pelawak-pelawak popular di Malaysia dan mereka telah memberi satu interpretasi kandungan yang segar, hebat dan lucu dalam filem tersebut.
Bagi melanggan filem Kawan-Kawanku Hantu, boleh kunjungi portal Astro First di Saluran Astro 480 dan ikuti langkah-langkah yang disertakan.
Setiap pembelian akan dicajkan
ke bil semasa pelanggan. Kadar caj
telco akan dikenakan untuk setiap khidmat pesanan ringkas. Untuk maklumat lanjut, layarilah www.astro.com.my/astrofirst.