Bagaimana Untuk Menerima Ganjaran Yang Banyak Daripada Allah ~ Meniti Kehidupan Insan

Pages

Monday, September 17, 2012

Bagaimana Untuk Menerima Ganjaran Yang Banyak Daripada Allah

Manusia yang dilahirkan di dunia ini sudah semestinya perlu mencari ganjaran pahala untuk dibuat sebagai bekalan di akhirat nanti. Namun mungkin ada di antara kita tidak tahu apakah ganjaran-ganjaran tertentu yang Allah berikan kepada hambaNya dengan banyak sekali. Antara amalan yang banyak diberikan ganjaran seperti membaca al-Quran, belajar membaca al-Quran dan lain-lain lagi.




Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 261:

” Bandingan (derma atau nafkah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seumpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Allah melipatkan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas( kurnianya ) lagi Maha Mengetahui”

Berdasarkan kepada ayat di atas, satu amal kebajikan yang dilakukan oleh seorang hamba dengan syarat bahawa amalan itu sah dari sudut syara’, mengikut syarat dan rukunnya, serta ikhlas kerana Allah s.w.t akan diberikan ganjaran paling minima dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda, malahan lebih daripada itu dengan izin Allah. Sebagai contohnya mereka yang melakukan ibadat di Masjidil Haram Makkah akan diganjar dengan 100,000 ganjaran. Manakala orang yang dapat beramal di malam qadar pada bulan Ramadhan diberi oleh Allah dengan pahala yang lebih baik dari seribu bulan. Begitu juga orang yang membaca al-Quran, akan diganjar dengan 10 kebajikan pada setiap huruf yang yang dibunyikan.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

” Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah( Al-Quran ), maka baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu akan digandakan menjadi sepuloh yang seumpamanya. Tidaklah aku mengatakan menagtakan Alif Lam mim itu satu huruf , tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huru f”

(Riwayat At-Tarmizi )

Selain dari itu niat ketika beribadat adalah satu syarat kepada penerimaan amal ibadat mengikut Mazhab Imam As-Syafie. Niat adalah pembeza antara adat dan ibadat. Nabi s.a.w telah bersabda:

” Hanya sesungguhnya amalan itu dengan niat dan bagi setiap orang apa yang dia niat “

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kadangkala niat yang baik sahaja pun sudah ada ganjaran apatah lagi jika disusuli dengan amalan. Rasulullah s.a.w bersabda:

” Niat seorang mukmin lebih baik dari amalannya “

Memberi tunjuk ajar kepada orang lain atau menunjukkan jalan yang baik supaya dia dapat melakukannya juga mendapat ganjaran sebagaimana orang yang melakukannya. Nabi bersabda:

” Orang yang menunjukkan seseorang kepada kebaikan adalah seperti mengerjakannya “

Iktikaf di dalam masjid misalnya tidak semestinya melakukan sesuatu amalan baru mendapat ganjaran. Apabila seseorang itu masuk ke masjid dan berniat iktikaf lalu dia duduk berdiam diri pun sudah berhasil mendapat pahala kerana dikira sebagai beriktikaf.

Dari Ibnu Abbas r.a : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda mengenai riwayat yang baginda terima dari Allah Azza wajalla: Sesungguhnya Allah S.W T telah menetapkan beberapa kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskan hal itu. Maka barangsiapa berniat untuk melakukan satu kebaikan, namun dia belum/tidak dapat melaksanakannya, maka Allah telah menuliskan satu kebaikan penuh disisinya.Tetapi barangsiapa berniat melakukan satu amal kebaikan lalu ia melaksanakannya maka Allah akan menuliskan 10 kali ganjaran kebaikan hingga sampai 700 kali kebaikan, bahkan berlipat ganda yang banyak sekali di sisinya. Dan barangsiapa berniat melakukan satu kejahatan, namun dia belum/tidak dapat melakukannya maka Allah akan menuliskan baginya satu kebaikan yang penuh kepadanya. Tetapi jika dia berniat melakukan satu amal kejahatan lalu dia melakukannya, maka Allah mencatatnya satu keburukan satu keburukan padanya”

(Buhkari dan Muslim)

Setiap manusia ada malaikat yang mencatat amal kebaikan dan kejahatan. Apabila manusia itu mati, malaikat yang mencatat amalan manusia akan diperintah oleh Allah s.w.t supaya berdiri diatas kubur si mati untuk bertasbih, bertahmid dan bertakbir dan menuliskan pahalanya kepada simati.

Sabda Rasulullah s.a.w:

” Dari Anas r.a dari Nabi s.a.w sabdanya: Sesungguhnya Allah telah menugaskan dua malaikat ( kiri dan kanan) untuk menulis segala apa yang dilakukan oleh hambanya. Kemudian apabila orang itu mati, maka Allah perintahkan kepada kedua malaikat itu dengan firmannya: ” Hendaklah kamu berdua tinggal tetap di kubur hambaku, maka hendaklah kamu bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepadaku sehingga hari Kiamat dan tuliskan apa yang diucapkan itu sebagai pahala untuk hambaku “

( Riwayat At-Tabrani)

Pada satu athar ada disebutkan bahawa kedua malaikat itu melaknat simati sehingga hari Kiamat jika mayat itu kafir.

Begitu juga jika seseorang yang sentiasa beramal kebaikan lalu ia sakit dan tidak dapat melakukan amalan sebagaimana biasa maka Allah akan memberikan pahala walau ia tidak melakukannya. Ini dijelaskan oleh nabi dalam hadisnya:

Dari Anas r.a, bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: ” Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan satu bencana pada tubuhnya, maka Allah berfirman kepada malaikat penulis amalannya: ” Tulislah juga untuknya amalan-amalan solih yang biasa ia lakukan, kemudian jika Allah sembuhkannya dari penyakit itu maka bersihkan dan sucikan dari dosanya. Jika sekiranya dia mati maka allah akan ampunkan dosanya dan memberi rahmat kepadanya“

( Ibnu Abi syaibah, Imam Ahmad dan Baihaki)

sumber