Pages

Wednesday, May 16, 2012

Najib Disambut Laungan 'Bersih' Di London


Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di satu pertemuan bersama warga Malaysia di London semalam disambut dengan laungan slogan BERSIH oleh sebahagian hadirin.

Sorakan slogan itu bermula apabila Najib mula mengambil tempat di 
atas pentas dan berlarutan ketika beliau memulakan ucapannya.

Sorakan slogan itu menyebabkan Najib hilang tumpuan untuk meneruskan ucapannya dan terpaksa merayu supaya sorakan itu dihentikan.

"Bolehkah anda tolong berhenti? Boleh tolong berhenti," rayu Najib seperti dirakamkan dalam satu video yang dimuatkan di lamanYoutube. 

Rayuan Najib itu disambut oleh SEOrang hadirin yang bertanya mengenai hak mereka untuk mengundi.

"Kami mahu mengundi. Kenapa anda tak bagi kami mengundi?" tanya individu itu di majlis tersebut.

Najib kemudian cuba menenangkan kumpulan tersebut agar beliau boleh meneruskan ucapannya. 

"Anda boleh jumpa saya kemudian ok...bolehkah anda tolong hentikannya?" kata Najib. 

Sorakan tersebut kemudiannya surut dan Najib meneruskan ucapannya seperti biasa.



Acara yang dinamakan ‘An Evening with the Prime Minister’ itu dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di lokasi berprestij O2 Arena di kota tersebut.

Program berkenaan diuar-uarkan sebagai satu acara untuk membolehkan rakyat Malaysia di London berinteraksi secara tidak formal dengan perdana menteri.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa sebahagian besar ucapan Najib kepada warga Malaysia yang menghadiri majlis "Sepetang Bersama Perdana Menteri" yang diadakan di dewan konsert 02 Arena di Greenwich, timur London, adalah mengenai hak dan tanggungjawab mereka dalam sebuah negara demokrasi dan pilihan rakyat melalui pilihan raya.

Najib berkata dalam mana-mana demokrasi akan ada mereka yang mengundi menyokong dan menentang, tetapi akhirnya, apa yang paling utama ialah pilihan rakyat.

“Rakyat Malaysia akan mempunyai pilihan itu. Kita telah 
membuktikannya. Anda tidak perlu mengadakan demonstrasi jalanan di Malaysia kerana jika diadakan juga, tidak dapat tidak akan timbul masalah, akan berlaku pertelagahan," katanya jelas merujuk kepada demonstrasi Bersih 3.0 di Kuala Lumpur bulan lepas.

Najib berkata seseorang itu mempunyai hak untuk menyokong kerajaan atau pembangkang tetapi "anda harus melakukannya mengikut lunas undang-undang yang ada". 

“Jika anda tidak hiraukan peraturan undang-undang, akan berlaku anarki dalam negara. Tidak harus berlaku anarki di negara kita. Kita boleh terima pertentangan pendapat dam pandangan tapi saya tidak akan hormati jika anda melanggar undang-undang negara. Itulah satu-satunya perlindungan yang kita ada untuk masa depan rakyat Malaysia," katanya.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa telah terbukti sejumlah 100,000 orang boleh berkumpul di sebuah stadium, dan melakukannya dengan begitu aman sekali, merujuk jelas kepada perhimpunan besar-besaran yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno pada 11 Mei. 

“Itulah caranya yang betul. Jika Bersih mahu mengadakan perjumpaan, kita boleh berikan mereka stadium yang sama, dan kita akan pastikan keamanan dan keselamatannya. Tiada siapa yang akan dicederakan dan itulah cara yang sebenarnya bagi kita sebagai sebuah negara yang matang. Kita percayakan demokrasi, tetapi demokrasi dengan tangungjawab."

Bernama melaporkan ada dua tiga orang yang berbuat bising dalam kalangan audien itu, membuatkan perdana menteri berkata "ini bukan adab orang Malaysia dan tidak sopan untuk mengganggu", bagaimanapun hadirin yang lain amat tekun mendengar ucapan beliau. 

“Saya bangga semua rakyat Malaysia patuh kepada undang-undang dan menghormati orang lain sebab itu anda harus bersuara. Anda harus bersuara terhadap mereka yang menyalahguna kedudukan mereka. {Jika) anda kumpulan minoriti, jangan paksakan pandangan anda terhadap kumpulan majoriti," tegas beliau.

Katanya beliau percaya jauh lebih baik ialah untuk bertindak bijak, mematuhi undang-undang dan bila tiba masanya, akan ada peluang untuk membuat keputusan sebagai warga Malaysia.

Najib, yang memberitahu audien mengenai pelbagai perubahan signifikan yang dilakukan kerajaan dari segi ekonomi, pendidikan dan beberapa undang-undang keselamatan, menekankan bahawa kerajaan mahu menjadi sebuah kerajaan yang mewakili perasaan rakyat Malaysia.

“Kami mahu terlibat dengan rakyat Malaysia, untuk melakukan apa yang terbaik untuk rakyat Malaysia, dan itulah komitmen saya sebagai perdana menteri Malaysia," katanya disambut dengan tepukan gemuruh.

Beliau mengulangi bahawa era "kerajaan yang lebih tahu, sudah berakhir". "Kami perlu mendengarkan rakyat, dan ini yang dilakukan kerajaan sekarang, mendengar suara rakyat".

Najib berkata kerajaan melakukan yang terbaik untuk merubah Malaysia menjadi sebuah negara yang benar-benar maju menjelang 2020 melalui pelbagai program transformasi ekonomi dan program transformasi kerajaan.

Malah, katanya, kini adalah saat yang amat penting dalam sejarah Malaysia kerana inilah kali pertama ia memulakan transformasi besar-besaran Malaysia secara menyeluruh, bukan hanya dari segi ekonomi tetapi juga dari segi sosial dan politik, untuk mencapai status sebuah negara maju sepenuhnya dalam tahun 2020.

"Kita boleh melakukannya dan saya percaya sebagai rakyat Malaysia, kita semua komited menuju ke arah menjadi sebuah negara maju. Saya berharap anda semua bersedia menyertai saya dalam perjalanan ini kerana kereta api sudah berlepas dari stesennya dan saya mahukan semua rakyat Malaysia menaiki tren ini supaya kita mempunyai segala sebab dan setiap peluang untuk mencapai matlamat kita menjadi sebuah negara maju," katanya.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Seri Zakaria Sulong, yang menganjurkan majlis itu, dan isteri Datin Seri Hazizah Ahmad. 

Najib dan Rosmah tiba pada Isnin untuk lawatan kerja dua hari ke United Kingdom. Perdana menteri menerima jemputan Putera Wales, Putera Charles, untuk menghadiri majlis resepsi sempena penganugerahan Carter Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford.