Pages

Tuesday, April 10, 2012

Tujuh Tingkatan Nafsu: Di Mana Kita?



Mari kita belajar tentang nafsu. Jika tidak belajar tidak mungkin kita tahu. Jika kita tidak kenal nafsu, bagaimana kiita dapat menghadapinya. Mana mungkin hendak didik nafsu jika nafsu yang hendak dididik itu tidak dikenali. Bukan oleh main agak-agak saja, habis kena tipu nanti oleh nafsu yang jahat dan pandai menipu.


 بَلۡ زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُواْ مَكۡرُهُمۡ وَصُدُّواْ عَنِ ٱلسَّبِيلِ‌ۗ وَمَن يُضۡلِلِ ٱللَّهُ فَمَا لَهُ ۥ مِنۡ هَادٍ۬

"Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan oleh Iblis bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu daya mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa nafsu mereka daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya." (Ar-Ra'd 13:33)

Nafsu Ammarah

Nafsu yang mesti dikalahkan ialah nafsu Ammarah, iaitu nafsu yang sangat jahat. Nafsu inilah yang mendorong manusia kepada kejahatan. Jika boleh berbuat maksiat, baru terasa puas. Bahkan berlumba-lumba, siapa yang paling banyak buat maksiat.

Allah SWT perkenalkan sifat nafsu ammarah itu kepada kita:

إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ

“Sesungguhnya hawa nafsu sangat mengajak kepada kejahatan.” (Yusuf: 12:53)

Orang yang berada di peringkat nafsu Ammarah tak peduli dengan Akhirat. Mudah kecewa dan tidak tahan bila diuji. Allah panjangkan umur mereka, agar puas dengan maksiat, bila mati akan lemparkan oleh Allah ke dalam api Neraka. Orang yang mempunyai nafsu Ammarah adalah nafsu ahli Neraka. Ada juga yang mencuba berpura-pura baik, agar mudah dengan kejahatan dan mencari keuntungan diri.

Dalam ayat 53 Surah Yusuf, ia berkaitan dengan peristiwa Nabi Yusuf dan Zulaikha, isteri perdana menteri Mesir. Pengajaran kisah itu, barangsiapa yang memiliki nafsu ammarah, dia tidak dapat tahan lagi untuk menjaga kehormatan dirinya, walaupun dia orang terkenal, akan jatuh ke lembah kehinaanlah orang yang menurutkan nafsu ammarah.

Orang yang memiliki nafsu ammarah, tidak mampu lagi untuk menjaga diri supaya tidak terjerumus ke dalam maksiat. Mengapa kita lihat orang yang tidak disangka-sangka tiba-tiba minum arak, punya simpanan perempuan, membunuh, rasuah dan sebagainya. Ini adalah akibat menuruti nafsu ammarah yang ada dalam diri.

Nafsu Lawwamah

Apabila nafsu Ammarah itu dapat dikalahkan, ia akan berubah kepada satu tahap yang bernama Lawwamah. Orang yang di peringkat ini sudah ada bunga kesedaran, keinsafan, dia sedar kejahatan itu berdosa dan kebaikan itu pahala, dia ingin berbuat baik, tetapi tidak tahan lama, waktu jatuh dalam kejahatan dia resah tak tentu arah, walaupun dia puas dengan kejahatan tapi hati menderita dengan kejahatan. Rasa berat untuk keluar dari kejahatan. Ini peringkat orang yang baru dapat hidayah, baru insaf. Nafsu ammarah telah dapat diatasi.

Inilah keadaan nafsu Lawwamah. Allah SWT berfirman:

وَلَآ أُقۡسِمُ بِٱلنَّفۡسِ ٱللَّوَّامَةِ

Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)! (Al-Qiaamah 75:2

Ketika ini timbul perebutan antara nafsu dan akal. Nafsu mengajak kepada kejahatan, akal mengajak kepada kebaikan. Orang yang memiliki nafsu lawwamah belum dapat membuat keputusan untuk berbuat baik. Ia seperti daun lalang, ikut ke mana arah angin bertiup. Tidak ada kekuatan untuk meninggalkan maksiat, dia boleh melakukan kejahatan lagi sesudah ia berbuat baik. Kadang-kadang ke tempat ibadah, kadang-kadang ke tempat maksiat, hatinya selalu merintih kepada Allah bila tidak dapat melawan nafsu untuk membuat maksiat. Atau tidak dapat istiqomah dalam berbuat kebaikan.

Nafsu Lawwamah inilah yang perlu dididik atau ditarbiyah. Peringkat ini perlu teruskan mujahadah, lawan nafsu. Tolak kehendak-kehendak yang jahat, yang disukai nafsu walaupun jiwa rasa menderita. Memanglah sakit, maklumlah melawan nafsu sama seperti melawan diri sendiri.

Nafsu Lawwamah ini diatasi dengan menambah ilmu, khususnya ilmu fardhu ain. Dengan ilmu itu dapat menyuluh mana halal, mana yang haram, mana yang berpahala, mana yang berdosa. Mana jalan ke Syurga, mana jalan ke neraka.

Bila sudah ada ilmu, sudah mula beramal sedikit-sedikit, nafsu mula terdidik, jadi baik sedikit dari sebelumnya. Nafsu yang agak baik ini dinamakan nafsu Mulhamah.

Nafsu Mulhamah

Dalam Al Quran, Allah ceritakan hal nafsu Mulhamah,

فَأَلۡهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقۡوَٮٰهَا

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu, jalan kejahatan dan ketaqwaan" (Asy-Syams : 8)

Di peringkat ini rupanya baru nampak jalan untuk menuju Allah. Allah tunjukkan jalan. Ini cara Allah hendak jadikan seseorang itu baik.

فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهۡدِيَهُ ۥ يَشۡرَحۡ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ‌ۖ

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam." (Al-An'aam 6:125)

Bagaimana rasa hati orang yang memiliki nafsu Mulhamah ini? Iaitu apabila hendak berbuat amal kebajikan terasa berat. Dalam keadaan bermujahadah dia berbuat kebaikan-kebaikan kerana sudah mulai takut kemurkaan Allah dan Neraka. Bila berhadapan dengan kemaksiatan, hatinya masih rindu dengan maksiat, tetapi hatinya dapat melawan dengan mengenangkan nikmat di Syurga. Kerana itu perlu belajar tentang syurga dan neraka, ia dapat membantu orang yang bernafsu Mulhamah ini bermujahadah.

Dalam hatinya masih banyak sifat-sifat mazmumah, sifat keji. Dia sudah dapat mengenali penyakit yang ada dalam dirinya. Dia tahu dirinya ada sombong, ada riyak, ada pemarah, ada dendam, ada hasad dengki. cuma tidak mampu lawan. Belum cukup kekutan. Dalam pada itu dia mencuba beribadah dengan sabar.

Bagaimana rasa sabar itu? Sabar itu menahan rasa tidak setuju dalam hati, melahirkan rasa setuju. Contoh, nafsu tidak suka bangun awal untuk solat subuh, tetapi cuba juga bangun, walaupun jiwa rasa menderita, tapi bangun juga untuk solat subuh. Zahirkan rasa setuju bangun solat subuh walau nafsu tak suka. Peringkat orang yang bernafsu mulhamah, bila kena puji pasti dah rasa puas dan seronok, maknanya belum lagi ikhlas. Kalau beribadah, belum boleh khusyuk lagi. Oleh itu, jika mahu beribadah dengan khusyuk, tidak boleh tidak perlulah diatasi nafsu lawwamah ini.

Bagaimana hendak melawan penyakit hati yang ada dalam orang yang berada di peringkat nafsu mulhamah ini? Oleh kerana ia didorong oleh nafsu dan syaitan, kenalah amalkan zikir-zikir dan wirid-wirid tertentu, sebab syaitan dan nafsu hanya takut pada tuannya saja iaitu Allah SWT. Bila kita sentiasa berwirid dan berzikir, baru dapat merasai Allah sentiasa melihat kita. Boleh juga banyakkan membaca Al Quran.

Bila penyakit-penyakit hati, segala sifat mazmumah yang terkeji itu sudah tiada lagi, barulah Allah datangkan satu rasa kemanisan dalam hatinya dalam beribadah juga berbuat baik, dan akan timbul rasa benci dengan kejahatan. Itu petanda dia telah meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik lagi iaitu nafsu Muthmainnah, atau nafsu yang tenang.

Nafsu Muthmainnah

Orang yang memiliki nafsu muthmainnah, Allah ceritakan sifatnya dalam Al Qur'an:

يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ , ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬ , فَٱدۡخُلِى فِى عِبَـٰدِى , وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى 

"Wahai jiwa yang tenang (muthmainnah), kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha (kepada Allah) dan diredhai (oleh Allah), maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam Syurga-Ku." [Al Fajr : 27-30]

Hamba Allah yang sebenarnya ialah mereka yang telah sampai kepada nafsu Muthmainnah. Allah iktiraf mereka sebagai hambaNya. Sebelum itupun hamba juga. Cuma hamba yang menyembah Allah kerana dipaksa, bukan atas dasar keredhaan. Hamba Allah yang sebenar, mereka redha dengan Allah, dan Allah juga redha kepada mereka, kerana itulah mereka ini dijemput Allah untuk masuk ke syurga. Nafsu Muthmainnah inilah nafsu ahli syurga.

Mari kita kenali, bagaimana sifat orang-orang yang mencapai nafsu Muthmainnah ini? Iaitu bila dia buat amal kebajikan rasa sejuk hatinya, tenang dan puas. Selalu rasa rindu nak buat kebajikan, mereka senantiasa menunggu waktu untuk beribadah kepada Allah. Kerana itu mereka sanggup bangun awal di tengah malam, ternanti-nanti waktu Subuh. Ternanti-nanti saat pertemuan dengan Allah. Sementara menanti itu mereka isi waktu itu dengan zikir dan solat sunat dengan rela, sungguh rela, bukan terpaksa.

Hati mereka senantiasa rindu dengan Allah, bila dia baca ayat Allah yang ada kaitannya dengan neraka, dia rasa takut, cemas, hingga ada yang pengsan, kadang-kadang ada yang mati. Mereka takut dengan dosa, seolah-olah gunung akan menimpa kepalanya. Bila berkorban di jalan Allah berhabis-habisan, baru rasa puas hatinya. Senantiasa rasa cemas dengan maksiat dan cuba cegah habis-habisan.

Mereka yang mencapai Muthmainnah ini, ia akan bersabar dengan ujian dari Allah kepada dirinya. Doanya mustajab, Allah cepat kabulkan, rezekinya terjamin, dijamin oleh Allah. Bila selalu diuji dia sabar, akhirnya ia sudah boleh redha dengan ujian. Hasil dari kesabaran dan keredhaan dalam hatinya, maka ia akan meningkat kepada nafsu yang kelima iaitu nafsu Rodhiah.

Kalau boleh sampai ke tahap Muthmainnah inipun sudah cukup, sudah dikira dalam golongan bertaqwa. Sudah Allah sahkan sebagai hambaNya yang dijemput ke syurga, apatah lagi jika dapat mencapai tahap nafsu yang lebih baik, iaitu nafsu Rodhiah.

Setakat ilmunya bolehlah cerita, untuk mencapainya kenalah minta tolong dengan Allah saja, moga disampaikan ketahap itu. Kerana ini peringkat nafsu yang dimiliki para wali-wali Allah, orang yang sangat hampir dengan Allah.

Nafsu Rodhiah

Pernahkah dengar, ada orang yang kematian anak , mengucap syukur kepada Allah, berkata Alhamdulillah. Pernahkah kita dengar ada orang yang tidak terpilih ke medan perang, menangis dan bersedih?

Biasanya jika orang kematian anak, pastilah menangis. Begitu juga kalau tidak terpilih ke medan perang, patutnya gembira, kerana masih boleh tinggal bersenang lenang dengan keluarga.

Tetapi, itulah sifat orang yang telah mencapai tahap nafsu Rodhiah. Mereka redha terhadap apa yang Tuhan redha, terhadap apa yang berlaku dalam hidup mereka.

Pernah terjadi dalam sejarah, seorang ibu bila orang membawa berita tentang anaknya yang gugur di medan jihad, dia rasa gembira, kerana Allah telah pilih anak-anaknya menjadi ahli syurga. Anak yang syahid itu boleh memberi syafaat kepadanya di akhirat nanti. Begitu jauh pandangan mereka tentang akhirat, kerana itu mereka boleh redha dengan ketentuan Allah SWT.

Di segi amalan, walau sekecil-kecil tentang larangan, ia akan tinggalkan sungguh-sungguh, bagi dia apa yang makruh, dia anggap macam haram, yang sunat dia anggap macam wajib. Kalau tidak buat yang sunat seolah-olah rasa berdosa.

Mereka, dalam beribadah kepada Allah, khususnya Al Quran, bukan sekadar sedap membaca, bahkan sedap beramal. Sudah terasa lazat dalam beribadah. Akhlak mereka terpuji di sisi Allah. 

Mereka mampu memberi maaf ketika berkuasa. Satu peristiwa, sahabat Rasulullah yang memiliki hamba, suatu hari hambanya membawa dulang yang berisi daging kambing, tiba-tiba pisau yang terletak di atas dulang terjatuh di kepala anaknya yang sedang merangkak dan terus mati. Dalam keadaan demikian hamba tadi merasa takut, maka kata sahabat tadi, "Bertenanglah kamu, anak itu Allah punya, Allah ambil balik, maka pada hari ini aku memerdekakan kamu"

Tiada siapa yang boleh berbuat demikian kecuali mereka yang memiliki nafsu Rodhiah. Mereka akan rasa menderita bila sahabat terjerumus kepada dosa. Mereka akan doakan khusus untuk sahabatnya di malam hari agar terselamat dari maksiat.

Mereka juga banyak mendapat pertolongan dari Allah, di antaranya firasat yang Allah berikan, mereka mudah kenal dengan orang yang berbuat maksiat atau tidak. Mereka mudah untuk memimpin masyarakat, sebab dia kenal sifat-sifat hati. Orang yang dia didik nasihat-nasihatnya tepat. Mereka ini, jika dihalau dari masyarakat oleh pemerintah, tunggulah bala Allah akan turun. Banyak lahir karamah-karamah dari mereka, mulutnya masin apa yang disebut insya Allah akan terjadi.

Memang amat payah kita mencapai tahap mereka itu, tetapi kita tetap disuruh berusaha ke arah itu, kerana itulah hakikat ajaran Islam yang sebenar. Mintalah kepada Allah.

Nafsu Mardhiah

Jika nafsu Mardhiah, sudah tentu lebih hebat lagi. Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Allah. Allah redha dengan apa saja yang mereka buat. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: “Mereka melihat dengan pandangan Allah, mendengar dengan pendengaran Allah, berkata-kata dengan kata-kata Allah.” Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Allah lakukan.

Nafsu Kamilah

Yang akhir sekali, tak boleh nak cerita banyak-banyak, sebab belum tercapai lagi tahap ini, nafsu Kamilah. nafsu yang paling sempurna di sisi Allah. Amat dikasihi oleh Allah. Manusia biasa tidak mampu sampai ke maqam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya sekadar peringkat keenam saja iaitu mardhiah. Ini sudah bertaraf wali besar.

Itulah 7 peringkat nafsu manusia. Jadi orang yang hendak mendidik manusia mesti faham peringkat-peringkat nafsu ini. Kemudian perlu faham bagaimana pula hendak mendidik setiap peringkat-peringkat nafsu tersebut supaya manusia menjadi manusia yang benar-benar hamba Allah.


Hari ini nafsu sudah tidak diperangi dan tidak dianggap musuh yang wajib diperangi. Sebab itu, tanyalah ulama mana sekalipun, tidak ada seorang pun yang memasukkan pendidikan nafsu dalam sukatan pelajaran. Yang banyak diceritakan suruh kawal nafsu. Di bulan Ramadhan disuruh kawal nafsu makan agar jangan berlebihan, atau kawal nafsu seks di siang hari, takut terlajak. Itu sahaja yang dicerita dalam tazkirah-tazkirah Ramadhan. Jarang kita dengar alim ulama cerita, nafsulah yang membawa masalah dalam kehidupan seharian.

Mungkin kita tertanya-tanya, mengapa nafsu sahaja yang saya ceritakan? Bagaimana Syaitan? Kedua-duanya, nafsu dan syaitan Allah tetapkan sebagai jahat dan musuh, tetapi dalam nisbah 1:3. 1 untuk syaitan, 3 untuk nafsu. Maknanya kejahatan nafsu 3 kali lebih dari syaitan. Sebab itu di bulan Ramadhan yang syaitan dibelenggu, tetap banyak kes-kes maksiat dan jenayah.

Nafsu adalah musuh dalam diri. Bahkan ia sebahagian daripada diri manusia. Ia adalah jismul latif (jisim yang tidak dapat dilihat). Ia sebahagian daripada badan tetapi ia perlu dibuang. Jika tidak dibuang ia musuh, hendak dibuang ia sebahagian daripada diri. Oleh kerana itu sangat sulit untuk melawan hawa nafsu. Nafsu adalah jalan atau highway bagi syaitan. Ini diterangkan oleh hadis Rasulullah ﷺ yang maksudnya :

"Sesungguhnya syaitan itu bergerak mengikuti aliran darah, maka persempitkan jalan syaitan melalui lapar dan dahaga"

Ini menunjukkan syaitan dapat dilawan dengan melawan hawa nafsu secara mengurangi makan atau berpuasa. Jika nafsu tidak terdidik, jalan syaitan adalah besar. Syaitan dapat lorong (peluang) yang amat luas untuk merosak manusia jika nafsu tidak terdidik.

Menghalau atau mengalahkan syaitan tidak dapat ditiup atau dijampi-jampi. Tetapi didiklah hawa nafsu, nescaya syaitan akan sukar untuk mempengaruhi diri. Jika nafsu terdidik, jalan syaitan akan terputus.

Yang boleh dijampi dengan ayat-ayat Quran ini ialah bila syaitan merosak jasad lahir manusia. Jika ini terjadi, syaitan boleh dilawan dengan ayat Kursi, surah An Naas atau lain-lain. Memang ada nas yang menyatakan demikian.

Tetapi jika syaitan merosak hati, jampi-jampi itu tidak dapat digunakan lagi tetapi hendaknya didiklah hawa nafsu. Sedangkan bila hati rosak, rosaklah seluruh anggota badan. Oleh kerana itu, pada syaitan tidak usah ambil pusing sangat tetapi didiklah nafsu, bermujahadahlah. Jika nafsu tidak terdidik maka mudahlah jalan syaitan mempengaruhi kita. Oleh kerana itu perangilah nafsu nescaya secara otomatik akan terhindarlah dari syaitan.

Cara Bertaubat Dengan Betul



Taubat berasal dari kata "tawaba" dalam bahasa Arab menunjukkan makna pulang dan kembali. Sedangkan taubat kepada Allah SWT bererti pulang dan kembali ke haribaan-Nya serta tetap di pintu-Nya.

Maksud taubat adalah kembali kepada Allah setelah melakukan maksiat atau dosa. Taubat merupakan rahmat Allah yang diberikan kepada hambaNya agar mereka dapat kembali kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".(At-Tahrim : 8)

Al-Hafizh Ibnu Katsir berkata dalam kitab tafsirnya :
"Artinya adalah, taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, akan menghapus keburukan-keburukan yang dilakukan sebelumnya, mengembalikan keaslian jiwa orang yang bertaubat, serta menghapus keburukan-keburukan yang dilakukannya."

Hasan Al Bashri berkata : 
“Taubat adalah jika seorang hamba menyesal akan perbuatannya pada masa lalu, serta berjanji untuk tidak mengulanginya.”

Al Kulabi berkata :
 “Yaitu agar meminta ampunan dengan lidah, menyesal dengan hatinya, serta menjaga tubuhnya untuk tidak melakukannnya lagi.”

Sa'id bin Musayyab berkata : 
“Taubat nasuha adalah: agar engkau menasihati diri kalian sendiri.”

Dari pendapat yang diberikan di atas bahawa taubat nasuha itu adalah taubat yang sebenarnya dan tidak lagi mengulangi kesalahan yang dilakukan. Taubat nasuha dilakukan dengan penuh penyesalan atas segala dosa yang dilakukan. Allah menerima orang yang bertaubat bersungguh-sungguh dan tidak lagi mengulangi perbuatan dosa tersebut. Manakala orang yang bertaubat kemudia masih melakukan perbuatan dosa tersebut tidak dinamakan sebagai taubat nasuha.

Ada manusia beranggapan buatlah dosa duhulu nanti kita boleh taubat pada masa tua nanti. Kalau dan bertaubat tidak mengapa, kalau tidak berkesempatan untuk bertaubat maka padah nanti di hari akhirat. Lagipun taubat sebegini diibaratkan tidak ikhlas dengan Allah, sebab orang tersebut masih berkeinginan untuk melakukan dosa. Jangan berlengah-lengah untuk bertaubat, kerana orang yang melengahkan taubat ini adalah orang yang jahil, sombong, tidak sedar diri dan zalim kepada dirinya. Firman Allah yang bermaksud :
“ Dan ingatlah, sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang Yang zalim.” (Al-Hujurat : 11)
Syarat-syarat Taubat

Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh, antara syara-syarat taubat yang wajib dipenuhi agar taubat di terima oleh Allah :
  1. Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.
  2. Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.
  3. Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.
Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.
Cara-Cara Bertaubat 
  1. Menyedari besarnya dosa yang dilakukan sehingga menyesalinya dan menggeruni balasannya yang akan tertimpa diakhirat kelak jika tidak bertaubat, sebagaimana sabda Rasullullah saw : “Menyesali (dosa) itu adalah taubat”.(Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)
  2. Berniat serta berusaha sedaya upaya menjauhi dan meninggalkan dosa yang telah dilakukan dan bertekad tidak akan mengulanginya lagi.
  3. Meninggalkan setiap apa yang dibenci dan diharamkan oleh Allah zahir dan batin, lantas beralih kepada yang dicintai dan diredhaiNya.
  4. Bertaubat dengan taubat nasuha sebagaimana firman Allah :“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan taubat Nasuha, Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai” (At-Tahrim : 8)
Hukum Taubat

Ketahuilah bahawa hukum bertaubat adalah wajib kepada semua umat Islam untuk memohon keampunan kepada Allah atas segala kesalahan yang dilakukan. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan bertaubatlah kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung." (An-Nur: 31)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Wahai sekalian manusia bertaubatlah kalian kepada Allah, karena sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah seratus kali dalam sehari.” (Riwayat Al-Bukhari)

Manusia tidak pernah sunyi melakukan kesalahan, kerana manusia dibekalkan nafsu sentiasa suka kepada perkara yang lazat atau keseronokan. Maka di sini, taubat adalah wajib dan fardhu ain kepada semua umat Islam. Taubatlah cara untuk menghapuskan dosa dan diampunkan Allah atas segala kesalahan yang dilakukan. Sebagai muslim yang baik, marilah kita sentiasa memohon taubat kepada Allah, supaya segala kesalahan kita diampunkan.
Penutup 

Taubat adalah kembali kepada Allah atau menyesali atas segala perbuatan dosa yang dilakukan selama ini. Ia bermunajat kepada Allah dan penuh keinsafan dan penyesalan atas segala dosa yang dilakukan. Taubat kepada mesti dengan sebenar-benar taubat, kerana orang yang tidak ikhlas taubatnya tidak akan diterima oleh Allah. Taubatlah dengan secepat yang mungkin dan jangan berlengah-lengah kalau kita menyedari telah melakukan kesalahan. Orang yang melengah-lengahkan taubat adalah orang yang sombong dengan Allah dan tidak takut dengan azab Allah yang sangat dahsyat. Sentiasalah bermuhasabah diri kita dan sentiasalah beristiqfar dan memohon ampun kepada Allah, mudah-mudahan Allah menerima taubat kita.

Akhir sekali saya datangkan kata-kata Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin seperti berikut :
"Sedangkan ilmu adalah, mengetahui besarnya bahaya dosa, dan ia adalah penghalang antara hamba dan seluruh yang ia senangi. Jika ia telah mengetahui itu dengan yakin dan sepenuh hati, pengetahuannya itu akan berpengaruh dalam hatinya dan ia merasakan kepedihan karena kehilangan yang dia cintai. Karena hati, ketika ia merasakan hilangnya yang dia cintai, ia akan merasakan kepedihan, dan jika kehilangan itu diakibatkan oleh perbuatannya, niscaya ia akan menyesali perbuatannya itu. Dan perasaan pedih kehilangan yang dia cintai itu dinamakan penyesalan. Jika perasaan pedih itu demikian kuat berpengaruh dalam hatinya dan menguasai hatinya, maka perasaan itu akan mendorong timbulnya perasaan lain, yaitu tekad dan kemauan untuk mengerjakan apa yang seharusnya pada saat ini, kemarin dan akan datang. Tindakan yang ia lakukan saat ini adalah meninggalkan dosa yang menyelimutinya, dan terhadap masa depannya adalah dengan bertekad untuk meninggalkan dosa yang mengakibatkannya kehilangan yang dia cintai hingga sepanjang masa. Sedangkan masa lalunya adalah dengan menebus apa yang ia lakukan sebelumnya, jika dapat ditebus, atau menggantinya.”

Sumber : Ustaz Nor Amin

Keadaan Ketika Nazak


NAZAK... SAAT HAMPIR MENINGGAL DUNIA
Dalam konteks ajaran Islam, saat kematian telah ditentukan waktunya, tidak dapat ditunda atau dipercepat dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan kematian seseorang apabila datang waktu kematiannya. Semua makhluk yang bernyawa pasti akan merasai kematian, sesuai dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud :

 “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan ( ingatlah bahawa ) kehidupan di dunia ini  (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya ) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
                                                                                                                                  Surah ali-Imran 3: (185)

Nazak
Nazak adalah saat terakhir seseorang yang akan menempuhi alam kematian. Nazak adalah ibarat sesuatu yang menyakitkan roh sehingga tidak meninggalkan satu bahagian pun dari roh yang tidak merasai kesakitan. Kepedihan di waktu nazak menyerang roh dan seluruh bahagiannya, kerana roh itulah yang dicabut dan ditarik dari setiap urat dan sendi jasad, iaitu bermula dari kepala hingga ke hujung kaki. Bencana kematian itu terbahagi kepada tiga perkara. Pertama, kerasnya nazak. Kedua, akan melihat rupa malaikat maut dan ketiga keluarnya roh serta akan rasa ketakutan di dalam hati. Detik-detik akhir menjelang kematian dinamakan sakaratul maut. Sakarat diertikan sebagai  mabuk. Sakaratul maut adalah peringkat ujian yang paling hebat dan ia juga amat dahsyat  sehingga menyebabkan seseorang itu bagaikan rasa mabuk disamping kesakitan yang amat dahsyat. Ianya tetap dihadapi oleh sesiapa sahaja di saat kematiannya hampir tiba sama ada orang yang beriman atau tidak beriman.

Keadaan ketika nazak
a)      Tanda orang mukmin meninggal dunia
Antara tanda-tanda kematian ialah tumit akan menjadi lembut, hidung menjadi bengkok, alis matanya semakin hilang, kulit muka menjadi tegang dan dahinya berpeluh.
Dari Abi Buraidah al-Aslami, Nabi S.A.W bersabda: “ Orang mukmin mati dengan keluar keringat di dahinya.” ( Hadis Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim ).
Diriwayatkan juga dari Salman Al-Farisi r.a, ia berkata: “ Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: “Perhatikanlah tiga perkara pada mayat di waktu saat kematiannya: jika keluar peluh di dahinya berlinangan air matanya, dan melebar kedua lubang hidungnya, maka itu adalah rahmat dari Allah yang turun kepadanya. Jika ia mendengkur seperti unta yang tercekik, pucat warnanya dan berbuih mulutnya, maka itu adalah seksaan dari Allah yang telah menimpanya”. (Hadis Riwayat al-Tirmizi dan al-Hakim).


b)      Sakaratulmaut bagi orang kafir
Bagaimana pula kematian orang yang derhaka ? Allah mengingatkan dengan firmanNya: “Ingatlah bila roh sampai ke kerongkong. Lalu ditanyakan: “Siapa yang dapat memberi penawar? Sedangkan dia yakin itulah tanda kematian. Dan kedahsyatan mati dirasakan bagai bertindih-tindih. Ketika itu kamu dibawa mengadap Tuhanmu. Padahal dia tidak menerima baik ajaran Allah dan tidak pula melakukan solat.” (Surah al-Qiyamah 75: 26-31)
Ketika itu orang yang berdosa akan mengalami sakit yang amat sangat dirasakan seperti berbelitlah betis dengan betis. Nabi Muhammad S.A.W membayangkan malaikat mencabut nyawa orang yang derhaka umpama satu guni yang penuh dengan gandum diletakkan satu cangkuk yang besar lalu direntap cangkuk itu sampai ke bawah lalu terburailah isinya. Begitu kasar dan keras kerja malaikat maut mengambil nyawa terhadap orang yang menderhakai Allah S.W.T.

Apa yang dilihat oleh orang nazak
Iblis dan syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis akan mandatangi manusia sewaktu sakaratul maut.
Menurut al-Qurtubi dalam  Al-Tazkirah yang diriwayatkan dari Nabi S.A.W bahawa di saat seorang hamba yang hampir menemui ajalnya akan datang dua syaitan yang duduk menghampirinya. Satu akan duduk di sebelah kanannya dan satu lagi akan berada di sebelah kirinya. Yang di sebelah kanannya akan menyerupai wajah dan sifat ayahnya. Ia berkata kepadanya: “Dulu aku mengasihi dan menyayangimu. Akan tetapi matilah kamu dalam agama Nasrani, kerana agama tersebut merupakan agama yang terbaik.” Syaitan yang berada di sebelah kirinya akan menyerupai sifat ibunya. Ia berkata kepadanya: “Hai anakku, perutku telah mengandungmu, susu ku telah memberimu minum, dan pahaku telah memangkumu. Akan tetapi matilah kamu dalam agama Yahudi, kerana agama tersebut merupakan agama yang terbaik.”
Manakala menurut Abdul Hasan al-Qasibi di dalam kitabnya Syariah Risalah Ibnu Abi Zaid dan Abu Hamid menyebut maknanya dalam kitab Kasyfu Uluum al-Akhirah, apabila hampirnya  saat-saat getir kematian, seseorang itu akan diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan. Ini adalah kerana iblis telah mengarahkan para pengikutnya secara khusus untuk cuba menghasut dan menggoda umat Islam. Mereka mendatangi manusia dan menjelmakan diri mereka meyerupai orang-orang yang dicintai di dunia seperti wajah ayah, ibu, saudara lelaki, saudara perempuan dan sahabat handai.
Selain itu, jika orang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibril alaihissalam akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilingnya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail alaihissalam. Manakala jika orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail alaihissalam akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya dia apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.
Oleh itu, hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia dengan kalimah suciLaa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW: "Ajarkan oleh kamu ( orang yang masih hidup ) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah."

Kenapa Orang Islam Sembah Ka'abah?



Kenapa Umat Islam Sembah Ka'abah?

Satu hari di majlis hi-tea Inter Faith Gathering di sebuah restoran mamak…… 

Missionary : Mengapa orang Islam, dia sembah kotak hitam ? 


Pendakwah : Salah tu bro. Umat Islam sembah ALLAH bukan kotak hitam. 

Missionary : Bukankah orang Islam sembah menghadap ke Kaabah, satu kotak berwarna hitam ? Apakah ALLAH itu dalam Kaabah ? 

Belum sempat pendakwah menjawab …. Handphone N95 missionary berbunyi ….. Missonary menjawab panggilan telefonnya …. Pendakwah sabar menanti ….. Setelah Missionary selesai menjawab panggilan di N95-nya, dia merenung kepada Pendakwah …. Pendakwah tersenyum …. 

Missionary : Mengapa tersenyum ? Bila awak hendak jawab soalan saya ? 

Pendakwah : Erm … perlukah saya menjawab soalan awak ? 

Missionary : Awak tak ada jawapan ? 

Pendakwah : Bukan itu maksud saya. Tadi saya cuba gunakan teori yang awak gunakan untuk membuat soalan yang awak ajukan kepada saya. Saya dapati awak kurang siuman. 

Missionary : Mengapa awak caka begitu ? 

Pendakwah : Tadi saya lihat awak bercakap seorang diri, ketawa dan tersenyum seorang diri. Dan awak mencium handphone tu sambil cakap “I love you mom” … 

Missionary : Saya bukan cakap seorang diri. Saya bercakap dengan emak saya. Dia yang telefon saya tadi. 

Pendakwah : Mana ada emak awak. Saya tak nampak pun emak awak. 

Missionary : Emak saya di Penang. Dia telefon saya, saya jawab gunakan telefon. Apa masalahnya ? (Nada suara Missionary semakin tinggi dan marah). Takkan itu pun awak tak boleh hendak fikir ? 

Pendakwah : Boleh saya tengok handphone awak ? 

Missionary menghulurkan N95nya kepada Pendakwah. Pendakwah mengambi N95 tersebut….. Pendakwah membelek-belek N95 tersebut …. Pendakwah menggooncang-goncang N95 tersebut sambil mengetuk-ngetuk N95 tersebut ke muka meja … Lantas …. Pendakwah menghempaskan sekuat hati N95 tersebut ke lantai ….. bersepaiiiiiiiiii ….. 

Merah padam muka Missionary menahan marah. 

Pendakwah merenung muka Missionary sambil tersenyum …. 

Pendakwah : Mana emak awak ? Saya tengok tak da pun. Saya pecahkan handphone ni pun tak da emak awak dalam handphone. 

Missionary : MENGAPA AWAK NI BODOH SANGAT ? Teknologi komunikasi sudah maju. Kita boleh berhubung jarak jauh menggunakan talian telefon dan teknologi wireless. Awak tak guna otakkah ? 

Pendakwah : Alhamdulillah (sambil tersenyum) …. Begitu juga halnya dengan ALLAH. Umat Islam menyembah menghadap Kaabah, bukan bermakna umat Islam menyembah Kaabah. Tetapi umat Islam menyembah atas arahan ALLAH. ALLAH mengarahkan umat Islam untuk sembahyang, kena menghadap Kaabah. Ini juga bukan bermakna ALLAH itu ada dalam Kaabah. 

Begitu juga dengan awak dan telefon. Emak awak menelefon awak menggunakan handphone Nokia N95, ini bukan bermakna emak awak ada dalam N95 tu. Tetapi Syarikat telekomunikasi menetapkan peraturan, kalau hendak cakap dengan emak melalui telefon kena dail nombor awak, barulah talian akan bersambung antara awak dan emak awak, dan awak boleh berbual melalui N95 walaupun emak awak tiada dalam handphone tu. 

Kemudian Pendakwah bangkit dari kerusinya, mengeluarkan wallet, dan menghulurkan RM 1500 kepada Missionary … Nah ini duit untuk awak beli N95 yang baru …. Pendakwah terus meninggalkan Missionary yang masih kelihatan confuse …. Mungkin dia bingung. Bingung kerana Islam mempunyai jawapan kepada segala persoalan berbanding agamanya ……

Dah selesai baca,Tolonglah komen

Sunday, April 8, 2012

Oh, Arak!



PENGERTIAN ARAK
Arak ialah minuman yang memabukkan. Dalam bahasa Arab dinamakan khamar, berasal dari kata khamara ertinya menutupi. Seseorang yang minum arak atau khamar, biasanya ia mabuk, hilang akal fikirannya tertutup jalan kebenaran, dan ia lupakan dirinya dan lupakan Allah.

Minum arak hukumnya adalah haram, sama ada sedikit atau banyak, hukum mabuk atau pun tidak, kecuali ketika darurat, dan arak itu adalah najis ainnya. Firman Allah yang bermaksud :

”Wahai orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (najis / keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

(Surah Al- Maidah ayat 90)

HUKUM ORANG YANG MINUM ARAK
Dalam Qanun jenayah syar’iyyah, seseorang yang telah sabit kesalahan minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, sama ada dia mabuk atai tidak, wajib dikenakan hukuman sebat tidak lebih dari 80 kali sebat dan tidak tidak kurang dari 40 kali sebat. Hukuman ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a yang bermaksud:

”Rasulullah s.a.w telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebat juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebat. Semuanya adalah sunnah Rasulaullah s.a.w. dan inilah yang paling akau suka”.

KESABITAN KESALAHAN MINUM ARAK(KHAMAR)
Untuk mensabitkan kesalahan seseorang minum arak (khamar) adalah tertakluk dibawah tiga sebab:

i) Minuman yang diminum itu ialah khamar, iaitu minuman yang memabukkan dan yang menghilangkan akal fikiran manusia

ii) Orang yang meminum minuman itu mengetahui bahawa minuman yang diminum tadi memabukkan dan menutup akal fikiran.

iii) Sengaja melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan.

Seseorang yang meminum minuman yang boleh memabukkan, dan ia tidak tahu bahawa dengan meminum minuman itu ia akan menjadi mabuk tidak boleh dikenakan hukuman had keatas orang yang meminum minuman itu, sekalipun dengan sebab meminum tadi ia menjadi mabuk.

PEMINUM ARAK YANG BOLEH DIKENAKAN HUKUM HADD
Orang yang melakukan kesalahan minum arak (khamar) yang wajib dikenakan hukuman hadd adalah tertakluk dibawah syarat-syarat berikut:

i) Baligh
ii) Berakal
iii) Kemahuan sendiri tanpa dipaksa oleh sesiapa
iv) Minuman itu masuk kedalam rongga melalui mulut


Kanak – kanak yang belum baligh atau orang yang gila yang minum arak (khamar) tidak boleh dikenakan hukuman hadd ke atas mereka, kerana perbuatan mereka itu tidak boleh dianggap sebagai perbuatan jenayah syar’iyyah yang boleh dikenakan hukuman hadd. Ini adalah berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia, iaitu kanak-kanak sehingga ia baligh, orang yang tidur sehingga ia bangun dari tidurnya, dan orang yang gila sehingga ia sembuh dari gila’.

(Riwayat Bukhari dalam Sahih)

BUKTI-BUKTI YANG MENSABITKAN KESALAHAN MINUM ARAK (KHAMAR)
Bukti – bukti yang mensabitkan kesalahan seseorang itu minum arak (khamar) yang boleh dikenakan hukuman hadd adalah sebagaimana berikut:-

1) Syahadah (kesaksian)
2) Ikrar (pengakuan)

Kesalahan minum arak (khamar) boleh dibuktikan dengan keterangan lisan yang diberi oleh dua orang saksi atau dengan ikrar (pengakuan) yang dibuat oleh oarang yang dituduh itu dengan kerelaan dirinya sendiri tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

Saksi-saksi dari pihak pendakwa atau penuduh mestilah terdiri dari dua orang lelaki yang mempunyai syarat-syarat yang cukup. Jika saksi-saksi itu semuanya terdiri dari orang-orang perempuan atau seorang lelaki berserta dengan beberapa orang perempuan, maka kesaksian mereka itu tidak boleh diterima dan tidak boleh disabitkan kesalahan orang yang dituduh tadi, kerana kesaksian mereka itu boleh mendatangkan keraguan.

Ustaz Harun Din Cerita Pengalaman Dalam Kotak Kaabah!


Saya pernah tawaf di Baitullah seorang diri. Pelik tetapi benar. Waktu itu iaitu empat tahun sudah (2001) saya datang ke Mekah, Allah taala lah yang mengaturkannya, saya dapat peluang untuk masuk ke dalam Kaabah. Sebab saya datang atas tetamu tokey yang membuat dan membersihkan Masjidil Haram.

Pagi itu saya datang awal. Pengawal keselamatan baru memagar keliling Kaabah dan saya dapat masuk ke dalam pagar itu sebab saya ada Pass VIP. Ketika itu tetamu-tetamu lain tak sampai lagi. Ketika itu lah saya tawaf seorang diri di hadapan Kaabah. Lepas saya habis tawaf baru tetamu-tetamu lain sampai. Ketika itulah saya nampak Hajarul Aswad seterang-seterangnya, ia tidak lagi hitam tetapi sudah kemerah-kemerahan.

Bila pintu Kaabah di buka saya orang yang ke tiga masuk ke dalam. Pertama pembuka pintu Kaabah iaitu daripada Bani Syaibah.

Pembuka pintu itu sudah tua, dia melatih anaknya yang berumur lebih kurang empat tahun untuk membuka pintu Kaabah itu.

Sejarah pintu Kaabah itu, kalau orang yang lain tidak boleh buka. Dia hanya boleh di buka oleh pemegang kunci itu sahaja dari keturunan Bani Syaibah. Bila Nabi meninggalkan Mekah kerana berhijrah ke Madinah, Mekah di kuasai oleh Bani Syaibah. Bani Syaibah ini adalah keturunan yang diamanahkan untuk memegang kunci kaabah sejak turun temurun.


Bila nabi balik semula ke Mekah dalam tahun 7 hijiriah, berlaku peperangan pembukaan Mekah, nabi menang dan orang Islam berkuasa ke atas Mekah. Nabi menghantar Sayidina Ali untuk mengambil kunci pintu Kaabah daripada Bani Syaibah. Sayidina Ali pergi ke Bani Syaibah dan rampas kunci tersebut. Bani Syaibah serahkan kunci kepada Sayidina Ali tetapi bila pintu Kaabah nak di buka tak boleh. Sekejap sahaja datang Jibrail kepada Nabi membawa wahyu dari Allah. Al-Quran (An-Nisaa’:58)
Mahfumnya “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya”

Nabi bagi balik kunci itu kepada Bani Syaibah, walaupun ketika itu Bani Syaibah belum Islam lagi. Rupa-rupanya bila bagi balik, Bani Syaibah kata mesti dia seorang nabi. Kalau dia bukan seorang nabi pasti dia gila kuasa kerana memegang kunci ini adalah satu penghormatan turun temurun. Bila kunci ini dipulangkan balik, ketua Bani Syaibah terbuka hatinya memeluk Islam kemudian semua pengikutnya memeluk Islam sehingga hari ini.

Budak kecil tadi dibawa tangannya untuk pegang kunci oleh bapanya kemudian di buka dan di tolak pintu itu. Saya lihat di depan saya. Berapa besar pintu itu? Berapa tebalnya? Pintu itu dibuat dari Solid Gold beratnya 8 tan. Dia tolak senang sahaja, kemudian kami masuk.

Mula-mula sekali saya pergi sembahyang di satu ruang belakang pintu Kaabah yang menghadap ke arah Hajaral Aswad (dari dalam) iaitu di bahagian Multazam. Selama sejam saya berada di dalam Kaabah itu.

Di dalam Kaabah itu masih ada lampu yang digunakan pada zaman nabi dahulu. Zaman Kerajaan Umaiyyah ditukar lampu lain seterusnya zaman Kerajaan Abasiyah juga tukar lampu. Apabila lampu di tukar, lampu yang lama di simpan di dalam Kaabah. Berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus lampu lama ada disimpan di dalam itu.


Pengalaman kedua, saya membantu salah seorang yang terkaya di Saudi Arabia, multi-billionaire, semua projek di Saudi dia yang buat. Dia ada masalah keluarga mintak tolong saya ikhtiarkan. Allah nak tunjukkan bahawa masalah yang dihadapi itu telah terlalu lama, ada duit yang banyak pun tak boleh selesai.

Dia tunggu saya di airport Jeddah dengan jet peribadi. Saya tak pergi imigresen dia terus ambil saya dari tangga kapal terbang terus masuk ke jet dia. Sungguh kuat pengaruh dia, saya tanya passport saya bagaimana, tak ada masalah dia dah uruskan. Naik jet dia pergi ke Madinah. Saya selesaikan masalah dia dengan izin Allah SWT. Lepas itu biasalah adat orang Arab nak bagi itu nak bagi ini sebagai balasan.

Saya kata kepada dia, “Kalau kamu nak masalah itu selesai selama-lamanya dan tak berulang semula, jangan bagi pada aku apa-apa, kalau kamu bagi, aku boleh terima tetapi masalah itu akan berulang balik.”

Dia mintak maaf tetapi dia kata “Aku nak buat sesuatu untuk kamu apa yang kamu nak?”. Saya kata “Ok kalau begitu apa yang aku nak tolong bawak aku masuk ke dalam Kaabah.” Dia kata “Itu mudah sangat, esok pun aku boleh arah buka”. Saya kata “Tak apalah kamu arahlah”. Dia kata “Tak apa itu perkara kecil, mintak yang lain.” Saya kata “Tidak, itu paling besar pada saya. Kalau kamu boleh bawa masuk aku ke dalam Kaabah, itu sudah lebih daripada cukup.”

Akhirnya saya dapat masuk. Saya masuk dengan dia ke dalam Kaabah, itulah kenangan yang tak boleh saya lupa sampai hari ini.