Mengikut Teori Kawalan Oksigen, cahaya itu
berkelip-kelip berdasarkan kawalan oksigen yang disalurkan kepada organ
fotik serangga berkenaan, yang digunakan bagi tindak balas kimia itu.
Tetapi berdasarkan Teori Pengaktifan Saraf pula, kelip-kelip mempunyai
struktur kawalan saraf yang dinamakan ‘sel hujung trakea’. Apabila
berlaku stimulasi, ia membebaskan sejenis molekul mesej kepada organ
fotik yang merangsang tindak balas kimia.
Bagaimanapun,
hipotesis yang diterima umum menyebut bahawa kelip-kelip mengeluarkan
cahaya untuk memberi amaran kepada pemangsanya bahawa serangga itu
mempunyai rasa yang tidak enak jika dimakan. Ini kerana ia mempunyai
bahan kimia di dalam tubuhnya yang digunakan sebagai penyelamatnya.
Selain itu kelip-kelip yang diganggu akan lebih kerap mengeluarkan
cahaya.